am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan jemaah haji agar menumpukan kepada ibadah yang wajib serta kurangkan aktiviti berbelanja ketika berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah, selain menjaga kesihatan diri, jemaah perlu mengawal perbelanjaan serta berjimat cermat terutama di dalam situasi ekonomi dunia yang bergolak ketika ini.
“Beta suka ingin mengingatkan kepada jemaah haji perlunya menjaga kesihatan diri, tidak membazir dan mengawal perbelanjaan serta berjimat cermat terutama di dalam situasi ekonomi dunia yang bergolak ketika ini.
“Tumpukanlah kepada ibadah yang wajib dilakukan dan kurangkan aktiviti membeli belah serta berbelanja ketika berada di Tanah Suci,” titah Sultan Selangor di majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Musim Haji Tahun 1447 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan lebih 5,000 peserta kursus.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar jemaah yang berpeluang menunaikan haji pada tahun ini untuk memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan haji yang mabrur susulan kuota untuk mengerjakan haji bagi rakyat Malaysia amatlah terhad.
Titah baginda, jemaah harus bersyukur dengan adanya Lembaga Tabung Haji yang menjaga dan menguruskan kebajikan jemaah haji.
“Oleh itu, gunakanlah kemudahan yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji dan jangan menggunakan agensi-agensi lain yang tidak diketahui latar belakangnya yang boleh menyebabkan jemaah haji tertipu dan terpedaya sehingga hasrat untuk menunaikan haji tergendala.
“Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di Tanah Suci nanti dan menjaga nama baik Selangor dan Malaysia.
“Patuhilah peraturan-peraturan yang sudah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi dan hindarkan daripada terbabit dalam sebarang bantahan atau demonstrasi.
“Tumpukan perhatian kepada ibadah dan bersabarlah dalam segala ujian dan kepayahan serta dugaan yang akan dihadapi,” titah baginda.
Difahamkan, lebih 8,000 jemaah dari Selangor terpilih untuk menunaikan rukun Islam ke lima dengan penerbangan pertama pada 18 April ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




