am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Universiti Teknologi MARA (UiTM) melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dan pemilik ekonomi, bukan sekadar pencari pekerjaan.
Baginda bertitah, UiTM tidak boleh sekadar meneruskan kejayaan melahirkan kelas profesional Bumiputera, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi usahawan, inovator dan pemimpin industri.
“Beta mahu UiTM melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dan pemilik ekonomi, bukan sekadar pencari pekerjaan.
“Jika dahulu UiTM memainkan peranan besar melahirkan kelas profesional Bumiputera, maka pada masa hadapan UiTM mesti membantu melahirkan lebih ramai usahawan, inovator, saintis, pemimpin industri dan pemilik perusahaan yang mampu bersaing pada peringkat serantau dan antarabangsa,” titah baginda di Majlis Titah Diraja Universiti Teknologi MARA di sini, hari ini.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Sultan Sharafuddin bertitah, keupayaan UiTM melahirkan golongan profesional Bumiputera bukan sekadar retorik, sebaliknya realiti yang dibuktikan menerusi angka dan pencapaian jelas.
Titah baginda, keberadaan alumni UiTM sebagai nakhoda industri dan teknokrat berwawasan menjadi bukti bahawa acuan pendidikan universiti itu mampu melahirkan pemimpin yang kental, berdaya saing serta sarat dengan nilai jati diri.
Tegas baginda, peningkatan jumlah profesional Bumiputera amat penting bagi mengimbangi jurang penyertaan anak bangsa dalam bidang strategik, selaras dengan matlamat asal penubuhan UiTM.
“Beta berasa amat bangga melihat pencapaian cemerlang UiTM yang kini berdiri megah serta membanggakan bangsa dan negara.
“Institusi keramat ini telah membuktikan keupayaannya memberikan khidmat bakti apabila para lulusannya kini tidak lagi sekadar menjadi penonton sejarah, sebaliknya menjadi penggerak utama, tokoh korporat dan pemimpin ternama di peringkat nasional mahupun persada global,” titah Sultan Sharafuddin lagi.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan, agar UiTM memperkukuhkan budaya kecemerlangan, integriti, disiplin dan merit dalam kalangan warga universiti.
Dalam titah ucapan, Sultan Selangor turut mencabar setiap pelajar dan graduan UiTM untuk sekurang-kurangnya menguasai dua bahasa asing.
© New Straits Times Press (M) Bhd
