Sultan Selangor seru rakyat tidak ragu ambil suntikan vaksin

Sultan Selangor seru rakyat tidak ragu ambil suntikan vaksin

bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat negeri ini agar tidak ragu-ragu mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Seruan baginda itu digariskan dalam intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid seluruh Selangor hari ini, menurut satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office.

Kenyataan itu juga memaklumkan baginda berkenan mengingatkan rakyat menerusi pesanan khutbah agar menerima baik saranan pihak kerajaan supaya mengambil vaksin dengan mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera dan Selangkah, serta lain-lain cara untuk mendapatkan suntikan vaksin yang disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

“Baginda turut menyokong gesaan dan nasihat dalam khutbah berkenaan supaya rakyat tidak perlu gusar lagi apabila menerima suntikan ketika berpuasa di bulan Ramadan.

“Ini kerana ia diperhalusi dan diperbincangkan untuk menetapkan hukum keharusannya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17 Februari 2021 dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 9 Mac 2021,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut sama memanjatkan doa agar rakyat Selangor terus dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta penularan wabak COVID-19.

“Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang bersabar ketika menempuh segala penyakit yang menimpa, berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu untuk memerangi wabak penyakit COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat,” kata kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top