Oh! Negara
Sultan Selangor titah penternakan babi tidak dijalankan di mana-mana daerah Selangor atas faktor pencemaran dan sensitiviti.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ketegasan baginda mengenai isu penternakan babi di negeri Selangor. Dalam kenyataan rasmi, baginda tidak berkenan sebarang bentuk penternakan babi dilakukan di mana-mana daerah dalam negeri itu.
Baginda menyatakan kebimbangan terhadap kesan pencemaran udara dan air sungai akibat najis serta sisa kumbahan, selain mengambil kira sensitiviti penduduk tempatan.
Titah baginda selari dengan kenyataan perdana menteri

Menurut Datuk Mohamad Munir Bani, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, baginda turut menyokong pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak setuju aktiviti ini dijalankan di kawasan penempatan yang dibantah penduduk.
“Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar di daerah Hulu Selangor yang juga kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan FELDA, pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya,” katanya.
Risiko pencemaran terhadap sumber air bersih

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman kepada kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber air bersih untuk penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang,” katanya.
Selain itu, baginda turut menegaskan bahawa kos teknologi moden untuk kawalan pencemaran adalah terlalu tinggi dan tidak praktikal untuk pihak penternak yang hanya membekalkan daging kepada satu kelompok pengguna.
Cadangan alternatif: Import sahaja

Memandangkan isu ini sudah lama berlarutan, Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi fokus kepada pengimportan daging babi sahaja untuk menampung permintaan masyarakat bukan Islam, terutamanya kaum Cina.
“Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama, kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” katanya.
Titah untuk keamanan dan keharmonian

Titah baginda jelas menunjukkan keprihatinan terhadap keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini. Isu penternakan babi menurut baginda perlu dihentikan dan dimuktamadkan segera bagi mengelakkan ketegangan dalam masyarakat.
Mohamad Munir turut menyeru semua pihak agar menghormati titah Sultan dan terus menjaga perpaduan rakyat di Selangor.
Pssttt! Ohmedia harap korang dapat faham kenapa isu macam ni perlu ditangani dengan cermat. Bila menyentuh soal sensitiviti dan pencemaran, penting untuk kita cari jalan tengah demi keharmonian bersama.
Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!




