Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa tidak berkenan terhadap spekulasi yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini berhubung penetapan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini.
Baginda bertitah, pelbagai andaian dan ramalan tanpa asas yang dibuat oleh sesetengah pihak boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan umat Islam.
“Baginda tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli seumpamanya yang seolah-olah boleh menimbulkan kejutan kepada umat Islam. Baginda menyeru semua pihak agar bersabar dan jangan mudah percaya dengan spekulasi tanpa asas,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Sultan Sharafuddin turut menyeru orang ramai supaya merujuk kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama berhubung perkara itu, termasuk penjelasan daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor serta kandungan khutbah Jumaat.
“Baca dan hadamkan kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Khutbah Jumaat berhubung perkara ini,” titah baginda.
Foto arkib: FB Selangor Royal Office
Dalam masa sama, baginda menegaskan bahawa pengumuman rasmi mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
“Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada hari Khamis, 19 Mac 2026, setelah mendapat perkenan Raja-Raja Melayu, seperti mana amalan dan ketetapan yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, baginda turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kaedah tersendiri dalam menentukan permulaan bulan Ramadan dan Syawal melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur serta berpandukan keputusan pihak berkuasa agama.
“Malaysia mempunyai kaedah penentuan awal bulan Ramadan dan Syawwal yang tersendiri melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur, teliti dan berpandukan kepada keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa,” titah baginda.
Menurut kenyataan sama, kaedah tersebut telah lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat oleh negara lain.
“Kaedah ini telah sekian lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat oleh negara-negara lain,” menurut kenyataan itu.
Foto arkib: FB Selangor Royal Office
Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut merujuk penjelasan terbaharu Jabatan Mufti Negeri Selangor yang menjelaskan bahawa penentuan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal atau anak bulan serta data kedudukan bulan pada tarikh cerapan.
“Permulaan awal bulan Islam adalah bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) dan data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara. Setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza,” jelas kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, baginda turut mengingatkan umat Islam supaya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya sehingga melalaikan kepentingan memanfaatkan sepuluh malam terakhir Ramadan.




