Suluhan syariat dalam isu beras negara

Suluhan syariat dalam isu beras negara

ISU bekalan dan harga beras negara terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat dan pakar ekonomi.

Sebagai makanan ruji utama, sebarang ketidakstabilan dalam bekalan atau kenaikan harga beras memberi kesan besar kepada kesejahteraan rakyat.

Apatah lagi, ia bukan sekadar soal makanan harian semata-mata, akan tetapi ia juga berkait rapat dengan kestabilan ekonomi dan keselamatan makanan negara.

Jika bekalan beras terganggu atau harganya melambung, bukan hanya rakyat akan terbeban, malah ia boleh mencetuskan krisis sosial dan politik.

Dalam menangani isu itu, prinsip syariat Islam boleh dijadikan panduan bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan semua pihak khususnya petani serta pengguna.

Hukum asal dalam penetapan harga

Dalam prinsip syariat, asal hukum dalam urusan jual beli ialah tiada penetapan harga secara paksa oleh pemerintah. Sebaliknya, harga sesuatu barangan ditentukan oleh mekanisme pasaran iaitu berdasarkan permintaan dan penawaran.

BERAS bukan sekadar soal makanan harian semata-mata, tetapi juga berkait rapat dengan kestabilan ekonomi dan keselamatan makanan negara. -Foto: CANVA

BERAS bukan sekadar soal makanan harian semata-mata, tetapi juga berkait rapat dengan kestabilan ekonomi dan keselamatan makanan negara. -Foto: CANVA

Hal itu berasaskan kaedah fiqh yang menyatakan ‘Asal sesuatu perkara itu adalah harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya’.

Namun, jika berlaku monopoli, penindasan atau spekulasi harga yang menyebabkan rakyat terhimpit, pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk campur tangan bagi memastikan keadilan dalam pasaran.

Jika diteliti, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada masalah bekalan dan harga beras negara adalah penswastaan pengurusan membabitkan makanan ruji rakyat Malaysia itu.

Bayangkan apabila sektor penting seperti itu diserahkan kepada syarikat swasta, kepentingan keuntungan akan menjadi keutamaan berbanding dengan kebajikan rakyat.

Ia secara tidak langsung menyebabkan ketidaktelusan dalam pengurusan. Pada masa sama, situasi itu turut memberi ruang kepada manipulasi harga oleh pihak yang berkepentingan.

Seharusnya, pengurusan beras dikembalikan kepada negara agar kerajaan mempunyai kawalan penuh terhadap bekalan dan harga, sekali gus menjadikannya sebagai sumber pendapatan negara yang stabil.


DALAM menangani isu berkaitan industri beras yang menjadi perbincangan hangat kebelakangan ini, prinsip syariat Islam boleh dijadikan panduan bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan semua pihak khususnya petani serta pengguna. -Foto: CANVA

DALAM menangani isu berkaitan industri beras yang menjadi perbincangan hangat kebelakangan ini, prinsip syariat Islam boleh dijadikan panduan bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan semua pihak khususnya petani serta pengguna. -Foto: CANVA

Larangan pintas dagangan

Seperkara lagi, pemberian lesen kepada pelbagai pihak dalam pengedaran dan pengimportan beras juga membuka ruang kepada kewujudan kartel.

Situasi itu seiring dengan amaran Rasulullah SAW dalam hadis mengenai konsep Tallaqqi al-Ruqban atau Bay’ Hadir li-Badin iaitu larangan terhadap pihak bandar membeli barangan daripada pedagang luar sebelum mereka tiba di pasar dan mengetahui harga sebenar.

Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah RA berkata: “Nabi Muhammad SAW melarang manusia memintas dagangan, jika ia dipintas oleh seseorang dan orang ini membelinya, maka pemilik barangan tadi berhak menuntut khiyar (pilihan untuk meneruskan jualan atau sebaliknya) jika dia tiba di pasar.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis itu jelas memberi gambaran bagaimana aktiviti perantara yang tidak telus boleh merugikan pihak pengeluar dan pengguna.

Dalam konteks industri beras, apabila hanya segelintir pihak yang diberi kuasa dalam rantaian bekalan, mereka boleh mengawal harga dengan mengenakan kos tambahan yang akhirnya membebankan rakyat.

Sesungguhnya, beras adalah keperluan asas yang tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada mekanisme pasaran bebas atau syarikat swasta.

Bagi memastikan kesejahteraan rakyat, beberapa langkah perlu diambil perhatian. Ia termasuklah dalam perkara membabitkan:

DALAM isu beras yang perlu diteliti, harga perlu mengambil kira modal, tenaga kerja dan kos operasi yang ditanggung petani agar mereka tidak teraniaya. -Foto: CANVA

DALAM isu beras yang perlu diteliti, harga perlu mengambil kira modal, tenaga kerja dan kos operasi yang ditanggung petani agar mereka tidak teraniaya. -Foto: CANVA

1. Penetapan harga beras berdasarkan kos petani – Harga perlu mengambil kira modal, tenaga kerja dan kos operasi yang ditanggung petani agar mereka tidak teraniaya.

2. Mengembalikan pengurusan beras kepada kerajaan – Langkah itu akan memastikan kawalan lebih ketat terhadap bekalan dan harga, selain menjadi sumber pendapatan negara.

3. Mengelakkan kewujudan kartel dan birokrasi – Kerajaan perlu memastikan tiada monopoli dalam industri beras dan mewujudkan sistem pengurusan yang lebih telus serta adil.

Dengan mengambil pendekatan berasaskan syariat, industri beras negara dapat diurus dengan lebih adil dan efisien, sekali gus menjamin kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

*Artikel ditulis oleh Dr Mohd Shafiq Sahimi, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam (Kampus Pagoh), Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Scroll to Top