Sumbang 13 unit Smart TV

Sumbang 13 unit Smart TV

am@hmetro.com.my

Ipoh: UDA Holdings Berhad (UDA) terus mempergiat usaha memperkasa komuniti setempat khususnya Bumiputera di sekitar wilayah pembangunan perniagaannya merangkumi aspek pendidikan digital, pembudayaan kelestarian, pembangunan sukan dan program komuniti.

Ia dilaksanakan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares dengan menyalurkan sumbangan 13 unit televisyen pintar (Smart TV) kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Dihilir Ekram di sini membabitkan sumbangan bernilai RM22,100.

Semua Smart TV berukuran 55 inci itu ditempatkan di 10 bilik darjah merangkumi kelas pra sekolah, kelas aliran perdana, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi dan tiga bilik khas termasuk kelas Program Pemulihan Khas, bilik mesyuarat dan pusat sumber sekolah berkenaan.

Pengerusi UDA Holdings Berhad Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata sumbangan itu antara komitmen UDA selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu memperkasa ekosistem pendidikan digital negara.

“Pemantapan pendidikan digital merupakan inisiatif UDA dalam menyokong pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing. Ia juga selari dengan saranan Perdana Menteri yang mahu syarikat kerajaan menyediakan peruntukan bagi projek pembangunan yang bermanfaat kepada warga sekolah.

“Apabila UDA berbincang dengan pihak sekolah, mereka minta Smart TV. Kita realisasikan kerana ia merupakan satu daripada instrumen pendidikan terkini untuk membangunkan minat pelajar dalam kaedah pembelajaran yang lebih berteknologi daripada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Smart TV kepada SK Raja Dihilir Ekram di sini, Khamis lalu.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak Safuan Raba’ai dan Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman.

Kata Mohd Annuar, SK Raja Dihilir Ekram menjadi ‘sekolah angkat’ beliau di bawah program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni Madani) memandangkan beliau pernah menjadi murid sekolah di sekolah terbabit antara tahun 1962-1964.

Sementara itu, Mohd Annuar juga berkata aspek pembudayaan kelestarian diterapkan pada sekolah berkenaan menerusi usaha memupuk amalan kemampanan dan kesedaran alam sekitar serta pembangunan kendiri dalam kalangan komuniti sekolah menerusi kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak melalui projek tanaman hidroponik sekolah berkenaan.

Menurutnya, program pertanian bandar itu diperkenalkan bagi menyemai kesedaran pelajar mengenai kepentingan subjek keterjaminan makanan sekali gus membimbing dengan menanam minat pelajar untuk membudayakan diri dan terbabit sama dalam kegiatan penghasilan makanan.

“Ia bagi menyahut seruan negara untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan meminimumkan import bahan makanan.

“Usaha ini juga selari dengan komitmen UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian dengan memfokuskan aktiviti sosial dan ekonomi komuniti setempat.

“Ia selaras dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ atau Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa),” katanya.

Kata Mohd Annuar lagi, dalam aspek menyemarakkan pembangunan sukan, UDA memberi tumpuan kepada penyediaan peluang dan platform bagi atlet muda berbakat khususnya yang kurang kemampuan kewangan atau asnaf menerusi usaha merangka kerjasama bagi mengenal pasti bakat dan memperkasakan pembangunan sukan boling di sekitar Ipoh.

Menurutnya, untuk itu satu program sedang dirangka dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri, Yayasan Perak dan Lite Superbowl JB9.

“Langkah ini juga merupakan tanda sokongan UDA kepada usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan di salah sebuah kompleks beli-belah milikan UDA iaitu Angsana Ipoh Mall seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat dan industri sukan,” katanya.

Di samping itu, beliau juga berkata, UDA akan terus memperkukuh komitmen CSR UDA Cares menerusi program komuniti yang berimpak tinggi sama ada menerusi sumbangan zakat wakalah mahupun sumbangan korporat.

Katanya, sehingga kini seramai 502 pelajar memerlukan sudah dibantu menerusi Program UDA Cares; Back To School 2025 yang diadakan di Johor Bahru, Johor, Sandakan, Sabah dan Lanchang, Pahang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top