redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Terima kasih kepada semua yang membantu kami anak beranak. Walaupun RM1, sumbangan itu amat bermakna buat kami dan hanya Allah SWT saja dapat membalasnya.”
Itu kata Nurul Norazwani Ramli, 36, ketika diminta berkongsi perasaan selepas dibantu ramai insan berhati mulia susulan pendedahan kisahnya bersama suami Rizwan Ahmad, 39, dan empat anak terpaksa berumah dalam kereta selama empat bulan akibat diusir dari rumah sewa.
Menurut Nurul Norazwani, sumbangan diberi sangat bermakna dan dia sangat menghargainya tidak kira berapa pun jumlahnya.
“Selepas tersiarnya kisah kami di Harian Metro, banyak sumbangan diterima. Walaupun tak kenal, mereka sudi bantu, syukur sangat.
“Sejujurnya, saya memang tak dapat nak balas jasa anda tapi saya doa kepada Allah SWT semoga semua yang membantu saya sekeluarga dipermudahkan urusan.
“Terima kasih juga kepada Surau Jumaat An-Naim kerana masih beri kami tumpang berteduh dan tak ketinggalan ‘Abang Kongsi’ yang datang ziarah serta bawa anak saya belanja pakaian dan barang keperluan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Nurul Norazwani berharap orang ramai tidak menyalahkan ahli keluarganya atau majikan suaminya susulan apa yang berlaku.
Katanya, ini kerana dia dan suami yang memilih tidak berkongsi masalah mereka kerana enggan membebankan ramai pihak.
“Itu saja yang saya dan suami harapkan kerana keluarga mahupun majikan suami sebenarnya prihatin dengan keadaan kami selepas dapat tahu hal sebenar.
“Mudah-mudahan, saya sekeluarga dapat kehidupan lebih baik dan saya akan pergi tinjau keadaan rumah sewa, esok.
“Insya-Allah, kami akan masuk rumah sewa dalam waktu terdekat kerana wang pendahuluan sudah dibayar. Tak sabar rasanya kerana saya sudah rancang nak berniaga semula dengan jual karipap sejuk beku bagi membantu suami,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah enam beranak ini yang terpaksa berumah selama empat bulan dalam kereta selepas diusir pemilik rumah pada 7 April lalu.
Sepanjang tempoh itu, enam beranak berkenaan tinggal di dalam kereta yang diletakkan berdekatan kawasan masjid atau lokasi yang menjadi persinggahan mereka.
Lebih menyedihkan, mereka pernah mengikat perut selama tiga hari kerana tiada wang bagi membeli makanan, namun keprihatinan Surau Jumaat An-Naim di Wangsa Maju memberi sinar baru buat mereka selepas dibenarkan tinggal dalam satu bilik yang sangat selesa.
Nasib mereka juga mendapat perhatian perhatian Muhammad Shamil Mazlan, 27, atau ‘Abang Kongsi’ yang datang bersama isteri, Nursyafika Othman, 28, bagi menyantuni Nurul Norazwani dengan empat anaknya.
Muhammad Shamil dan isteri turut membawa Nurul Norazwani bersama empat anaknya membeli pakaian serta barangan keperluan sebagai salah satu inisiatifnya berkongsi rezeki daripada hasil pendapatan sebagai rakan kongsi dalam syarikat perlindungan komuniti dikenali WeKongsi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




