Sumbangan PMKS kepada KDNK disemak semula kepada 41%

Sumbangan PMKS kepada KDNK disemak semula kepada 41%

KUALA LUMPUR – Sasaran sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 disemak semula kepada 41 peratus berbanding 45 peratus, mengambil kira impak pandemik dan konflik Rusia-Ukraine ke atas ekonomi negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kedua-dua senario itu menyebabkan berlaku sekatan perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan harga komoditi.

Beliau berkata, pertumbuhan KDNK PMKS pada 2022 mencatat peningkatan dua digit iaitu 11.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada 2021 dan 5.9 peratus pada 2019.

“Sumbangan PMKS kepada KDNK negara juga meningkat dan melebihi sumbangan prapandemik Covid-19 dengan nilai sumbangan RM580.4 bilion pada 2022 berbanding RM553.4 bilion pada 2019.

Beliau menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai kesungguhan kerajaan meningkatkan sumbangan PMKS memandangkan sasaran sumbangan kelompok itu kepada KDNK bagi 2025 sudah berkurangan.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, bagi meningkatkan lagi sumbangan PMKS kepada KDNK, kerajaan memberi tumpuan ke atas industri pertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) yang mampu memberi sumbangan lebih besar kepada jumlah eksport negara.

Malah, beliau menyifatkan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 juga berupaya meningkatkan daya saing dan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri pembuatan berpertumbuhan tinggi pada peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga melaksanakan beberapa program menyokong kepada pelaksanaan NIMP 2030 melalui Program Pembangunan Vendor (PPV); Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) dan Program PKSlestari,” katanya. – MalaysiaGazette