Episod 12 drama bersiri Sumpah Ibuku yang ditayangkan semalam mencetuskan gelombang hangat dalam kalangan penonton, terutamanya di media sosial.
Belum sempat episod bermula, ruang komen dipenuhi tawa sinis dan rasa puas hati penonton apabila rahsia besar rumah tangga Che Yam (lakonan Liza Abdullah) mula terbongkar.
Pendedahan terbesar episod ini ialah terbongkarnya hubungan sulit antara Alma (lakonan Aleza Shadan), pembantu peribadi yang paling dipercayai Che Yam, dengan suaminya sendiri.
Selama ini Alma dianggap tangan kanan keluarga dan kerap mengurus urusan kerja bersama suami majikannya; namun rupa-rupanya mereka telah berkahwin secara senyap selama 15 tahun.

Ketika kebenaran terdedah, kemarahan Che Yam memuncak sehingga tercetus babak konfrontasi yang tegang, sampai dua anak lelakinya terpaksa campur tangan untuk meleraikan keadaan.
Dalam satu adegan lain, Alma turut terkena libasan paip getah, momen yang mencetuskan reaksi “puas hati” dalam kalangan netizen yang menganggapnya ironi, kerana watak Che Yam selama ini rancak “memberi madu” kepada menantu, sedangkan dirinya sendiri dimadukan tanpa sedar.
Kebanyakan komen yang ditinggalkan memang tak beri muka langsung. Antara komen yang mencuri perhatian termasuklah:
“Pegi ke ladang nak beli tauhu, padan muka u! Hahahahahahahahaha 😂😂😂🤣🤣🤣🤣” — @pu3angax
“Rasain lorhhh… sibuk nak madukan menantu, last-last PA ku maduku 🤣🤣🤣🤣🤣 Mammy happy tak? Hahaha” — @the_mairah
“Sibuk bagi madu dekat menantu… tak sedar dia dimadukan sampai suami mati… huhu… #dimadukanTanpaSedar” — @anita_wahab
Sumpah Ibuku dijangka terus mencuri perhatian dengan jalan ceritanya yang semakin panas dan sarat drama. Selain Liza Abdullah dan Aleza Shadan, drama ini turut dibintangi Izara Aishah, Datuk Remy Ishak, Zara Zya, Syad Mutalib dan Syazwan Zulkifly.
Jangan ketinggalan mengikuti episod baharunya setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.




