razis@mediaprima.com.my
Sepang: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 kini memasuki fasa terakhir apabila berbaki sembilan jam lagi untuk 10 kapal flotilla yang masih belayar termasuk tiga kapal yang dinaiki empat rakyat Malaysia sampai ke Gaza.
Empat rakyat Malaysia itu ialah Muhammad Hareez Adzrami dan Chin (Alcyone), serta Syed Amirul dan Dr Thanisah masing-masing berada dalam kapal Don Juan dan Zefiro.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sehingga 3 petang waktu Malaysia, 10 kapal Global Sumud Flotilla kini sedang berada di Zon Merah 2 kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza dan masih berlayar menuju ke Gaza.
Katanya, kapal yang masih berlayar menuju ke Gaza ialah Alcyone, Andros, Cabo Blanco, Don Juan, Elengi, Girolama, Kasr-i-Sadabad, Lina, Sirius dan Zefiro.
“Melalui kiraan yang dibuat, dengan kelajuan lebih kurang 15 kilometer perjam bersamaan 8 knot, kita jangkakan mereka akan sampai ke Gaza dalam tempoh sembilan jam.
“Ini adalah tempoh sembilan jam yang mendebarkan dan sembilan jam ini adalah sebenarnya pusingan dan pecutan terakhir bagi anak muda Malaysia yang patut kita banggakan kerana mereka tidak berpatah hati, tidak lari dan terus mara ke depan walaupun menyedari mereka mungkin akan diculik selepas itu.
“Di saat kita berhubung dengan Hareez dan Chin, kedua-dua mereka menyatakan terus komited dan memohon doa supaya mereka dapat menjejakkan kaki di bumi Gaza,” katanya dalam sidang media SNCC di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sani berkata, sehingga kini, 40 buah kapal flotilla membabitkan hampir 350 aktivis kemanusiaan termasuk 25 rakyat Malaysia dipintas dan diceroboh oleh pihak rejim IOF.
“SNCC menerima laporan visual mengesahkan semua aktivis telah diculik keluar dari kapal masing-masing secara paksa ke empat kapal tentera pihak rejim.
“Sehingga kini, SNCC masih belum menerima pengesahan mengenai status kesemua aktivis yang ditahan, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas insiden pintasan berlaku,” katanya.
Beliau turut mengecam tindakan pemintasan dan penculikan itu sebagai perlakuan lanun, bacul dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS, serta merupakan pencabulan serius terhadap prinsip kebebasan misi kemanusiaan yang dilaksanakan di perairan antarabangsa.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memaklumkan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan para pemimpin negara-negara Eropah termasuk Turkiye, Sepanyol dan lain-lain bagi memastikan semua aktivis yang ditahan rejim Zionis dibebaskan segera melalui usaha diplomatik bersepadu.
“SNCC menegaskan bahawa semua aktivis mesti dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, penganiayaan atau pelanggaran hak asasi, serta tidak boleh dikenakan sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan hanya kerana membawa suara keamanan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” katanya.
SNCC turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




