Sungai Pengkalan Datu tarikan baharu pelancongan di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kota Bharu: Keindahan pemandangan pinggir sungai Pengkalan Datu di Kampung Pulau Tengah dekat sini, menjadi tarikan baharu selepas ia tular di media sosial sejak bulan lalu.
Kampung itu menjadi tumpuan orang ramai yang mahu menikmati ketenangan di samping singgah di beberapa warung dan restoran unik milik penduduk setempat.
Antara aktiviti yang menjadi perhatian ialah berjalan di atas jambatan terapung pesisir sungai sejauh hampir satu kilometer, menikmati hidangan makanan di atas pokok, menyusuri sungai menaiki bot, melawat taman kelip-kelip dan kelulut, menuai nira nipah serta mencari lokan.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti Penduduk Kampung Pulau Tengah, Mohd Hishammudin Ghazali berkata, sebelum ini kampung yang terletak dalam Parlimen Kubang Kerian tiada keistimewaan serta terpinggir daripada arus pembangunan.
“Kini selepas tular di laman sosial, ia semakin meriah dan mampu menarik kehadiran pengunjung lebih 500 orang pada hari minggu.
“Jika pengunjung mahu menyusuri sungai dengan bot, mereka berpeluang melewati tiga kampung sejauh tiga kilometer iaitu dari Kampung Pulau Tengah hingga ke Kampung Pulau Melaka melihat aktiviti komuniti setempat serta menikmati keindahan alam semula jadi di Sungai Pengkalan Datu,” katanya yang juga memiliki ladang Kelulut Mentari Bee Island.

Beliau berkata, kehadiran pengunjung memberikan kelebihan kepada penduduk setempat untuk menuai rezeki melalui pelbagai sumber sampingan.
Antaranya ialah menyediaan bot oleh penduduk kampung yang dapat menampung 18 penumpang pada satu masa dengan kadar bayaran RM10 hingga RM15 bermula seawal 10 pagi hingga 6.30 petang.
Selain itu katanya, taman kelip-kelip yang terletak 200 meter dari situ juga dibuka dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam setiap hari kecuali Selasa dan Khamis dengan bayaran RM10 hingga RM15 menaiki perahu.
“Kampung ini mempunyai hutan yang dipelihara dengan baik, oleh itu pengunjung berpeluang merasai pengalaman melihat kelip-kelip sekitar tempoh satu jam dengan menaiki perahu,” katanya.
Mohd Hisyamuddin berkata, Restoran Astacona Riverview Island pula mencipta kelainan dengan menawarkan pakej menikmati juadah di atas pokok setinggi hampir 10 meter.
Katanya, restoran itu mula bertapak sejak lima tahun lalu dengan kehadiran hanya 50 pelanggan sehari, namun kini kehadiran pelanggan berlipat kali ganda sehingga hampir 300 pelanggan sehari.
Menurutnya, hanya dua orang pelanggan sahaja dibenarkan menikmati hidangan atas pokok untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dan pengunjung juga berpeluang untuk menaiki menara bagi melihat pemandangan dari atas dengan kadar bayaran RM1 seorang dengan had masa 30 minit.
Dalam masa yang sama pengunjung juga diminta untuk mematuhi setiap arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak pengurusan selain menitikberatkan aspek kebersihan agar lokasi itu akan sentiasa terjaga dan bebas dari sebarang pencemaran.

Oleh Zaimatuljuwita Abdul Manaf

ZA137/Malay News
National Desk