Sunnah Nabi SAW tentang keadilan

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Keadilan Islam Dalam Lipatan Sejarah (Siri 3)

SUNNAH Nabi SAW dan cara hidup Baginda menjadi penterjemah secara praktikal terhadap ajaran dari Allah dalam Al-Quran dan menjadi pelaksana terbaik bagi prinsip, erti dan kandungan Islam. Seruan menegakkan keadilan, membasmi kezaliman adalah antara tema dakwah Nabi SAW. Nabi SAW bersabda:

إنه لا قدست أمة لا يأخذ الضعيف فيها حقه غير متعتع (صحيح الجامع:2421).

‘Bahawa Allah tidak mensucikan umat, di mana orang yang lemah tidak dapat mengambil haknya tanpa teragak-agak’ di mana Nabi SAW menafikan kesucian umat yang tidak tersebar di dalamnya keadilan.

Advertisement

Baginda juga memberi peringatan terhadap kesan buruk dari berlakunya kezaliman:

اتقُوا الظُّلْمَ فإن الظلم ظلُمات يوم القيامة

Jaga-jaga dari sifat zalim, kerana kezaliman itu kegelapan pada hari kiamat.

Sejarah hidup Nabi SAW membuktikan bahawa prinsip kasihkan sifat adil telah sebati dalam dirinya sejak sebelum menjadi Nabi lagi.

Bani Hashim, Bani Al-Muttalib, Bani Asad bin Abdul Uzza, Bani Zuhrah bin Kilab dan Bani Taim bin Murrah bersepakat dan berjanji setia iaitu tidak didapati orang yang dizalimi di Mekah, samada penduduknya atau orang luar, melainkan mereka akan membantunya. Nabi ketika itu menyaksikan perjanjian ini bersama bapa-bapa saudaranya. Baginda bersabda selepas dilantik menjadi Nabi:

‘Sesungguhnya saya menyaksikan bersama bapa-bapa saudara saya satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an, yang lebih aku kasih dari unta merah (iaitu harta bernilai bagi orang Arab). Jika aku diajak kepadanya di dalam Islam, aku akan perkenankan.’

Nabi SAW juga adalah seorang yang paling adil kepada sesiapa pun. Apabila berlaku satu kes yang seolah-olah mencabar sifat adil Nabi, sehingga Nabi bergenang dengan airmata, lalu sabdanya: ‘Benar! Siapakah lagi yang lebih adil daripadaku’.

Dalam kisah yang lain, Nabi pernah menjatuhkan hukuman hudud kepada perempuan Bani Makhzum yang mencuri. Keluarganya cuba campur-tangan dengan bertemu Usamah bin Zaid bin Harithah untuk meringankan hukuman dari Nabi SAW. Apabila Usamah kemukakan perkara ini, Nabi marah, lantas bersabda:

يا أسامة ، أتشفع في حد من حدود الله ؟

Wahai Usamah! Adakah engkau ingin mendapat pengurangan terhadap hukum Allah yang telah ditetapkan?

Nabi bangun, lalu berucap:
إنما هلك الذين من قبلكم أنهم كانوا إذا سرق فيهم الشريف تركوه ، وإذا سرق فيهم الضعيف أقاموا عليه الحد ، وايم الله ! لو أن فاطمة بنت محمد سرقت ، لقطعت يدها

‘Binasanya umat sebelum kamu ialah apabila orang yang mulia di kalangan mereka mencuri, mereka biarkan. Apabila orang lemah di kalangan mereka mencuri, barulah mereka jatuhkan hukuman. Demi Allah! Kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, tentu aku potong tangannya.’

Hadis ini menunjukkan sifat adil Nabi terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam masyarakat, sekalipun anak kepada pembesar.

Bukan sahaja kepada anaknya, bahkan Nabi bersedia menegakkan keadilan sekalipun ke atas dirinya sendiri. Dalam Perang Badar, Nabi membetulkan saf para tenteranya. Sawad bin Ghuzayyah terkeluar sedikit dari saf itu. Nabi mencucuk atau memukulnya dengan ranting kayu. Sabdanya: ‘Betulkan kedudukannya wahai Sawad’.

Sawad berkata: ‘Engkau telah menyakitkanku wahai RasulAllah. Biarkan aku membalasmu.’
Tanpa mengulas panjang, Nabi membuka baju dan menampakkan perutnya yang mulia: ‘Balas wahai Sawad’.

Kalau kita lihat, perbuatan Nabi benar. Baginda membetulkan saf perang. Baginda pula bukan sebarangan orang. Logiknya kalau kita berada di tempat Nabi, tentu kita akan memberi pelbagai alasan supaya kita tidak dibalas balik.

Nabi tidak demikian. Keadilan bukan setakat kata-kata retorik di mulut atau slogan, tetapi tindakan yang dibuat dengan penuh insaf dan kesedaran.

Sawad membalas dengan tindakan yang tidak disangka. Beliau memeluk dan mencium perut Nabi yang mulia itu kerana dia tahu mungkin inilah kali terakhir dia bersama dengan Nabi SAW. Dia mahu kulitnya yang menyentuh kulit Nabi akan menjadi penghalang dari neraka.

Apa yang saya kemukakan di atas hanya sekelumit dari siri keadilan dalam hidup Nabi SAW. Sebagai umat Nabi, kita wajib mengikut Baginda, termasuk menegakkan keadilan dalam semua lapangan hidup. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.