Sunting gambar jadi kartun: Harus jika tidak menghina

Sunting gambar jadi kartun: Harus jika tidak menghina

– Advertisement –

KUALA TERENGGANU: Trend menyunting gambar keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri ke dalam bentuk kartun atau animasi digital semakin menjadi ikutan, terutama dalam kalangan generasi muda.

– Advertisement –

Ia bukan sahaja dianggap menarik dan kreatif, malah memberi sentuhan moden kepada gambar kenangan bersama keluarga tercinta.

Namun, di sebalik trend yang kelihatan ringan dan menghiburkan itu, wujud persoalan dari sudut agama, apakah hukum mengubah gambar manusia menjadi kartun?

Menjawab isu berkenaan, Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus berkata, hukum mengubah gambar menjadi kartun adalah harus, selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat Islam dan tidak menimbulkan penghinaan.

“Andainya benda itu tidak mengurangkan darjah kebesarannya tidak menjatuhkan maruah orang. Bahkan menyukakan manusia kepada akhirat hukumnya harus.

“Tapi jika sampai jadi menghina orang, menurunkan martabat orang yang patut kita muliakan, hukumnya dilarang syarak,” katanya dalam satu video yang dimuatnaik melalui YouTube miliknya, kelmarin.

Beliau juga mengulas seandainya gambar disunting dalam bentuk kartun dengan tujuan untuk mengejek fizikal seseorang, menyindir kekurangan individu atau menjadikan subjek bahan gelak orang ramai.

Katanya, jika dilakukan sedemikian itu, maka ia termasuk dalam perbuatan mengumpat dan menghina, yang jelas dilarang dalam Islam.

“Kalau kita ‘edit’ gambar sampai menghina, jadi aib orang walaupun dalam bentuk kartun itu sama seperti kita menyebar aib dan mengumpat,” jelasnya.

Tambahnya, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur atau berkreativiti, asalkan batas akhlak dan maruah tetap dijaga.

Ustaz Azhar turut mengingatkan agar masyarakat berhati-hati memilih bentuk suntingan, kerana walaupun sekadar kartun, wajah seseorang tetap membawa identiti dan maruah.

Jika kartun tersebut digambarkan dalam bentuk yang mengaibkan, berlebihan atau memperlekeh, kesannya tetap besar, terutama apabila disebarkan secara terbuka di media sosial.

Sebagai perbandingan, beliau menyentuh isu memberi gelaran kepada orang lain di mana jelasnya, Islam membenarkan penggunaan gelaran yang baik seperti ‘raja singa’ atau ‘burung helang’ kerana membawa maksud keberanian dan ketangkasan.

Namun, jika gelaran berbentuk hinaan seperti ‘anjing’ atau ‘mengkarung’, ia jelas dilarang.

“Kalau kita gelar orang boleh sebenarnya dengan gelaran yang baik. Walaupun letak nama binatang dibolehkan, contohnya wahai raja singa dibolehkan dalam syarak sebab maknanya orang yang sangat berani.

“Tapi tak boleh keluarkan binatang yang hina, wahai anjing, tak boleh kerana Saidina Umar digelar dengan ‘bapa singa’, tapi kalau letak mengkarung kesian dekat orang tersebut.

“Tapi kalau kata wahai burung helang itu lain kerana maknanya sangat tangkas. Gelaran tengok juga ada halal dan haram,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top