Supek buli Zara Qairina akan didakwa – AGC

Supek buli Zara Qairina akan didakwa – AGC

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan beberapa suspek yang terbabit dalam kes buli pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Zara Qairina Mahathir akan didakwa di mahkamah.

Perkara itu diputuskan selepas jabatan itu meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berdasarkan keterangan yang ada.

“Jabatan ini menegaskan walaupun keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat, namun keputusan itu tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina, termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, polis sudah menyerahkan kertas siasatan berkaitan kematian Zara Qairina, 13, kepada AGC hari ini untuk meneruskan proses seterusnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor, berkata kertas siasatan itu diserahkan selepas soal siasat terhadap 195 saksi dibuat.

Saifuddin Nasution dipetik berkata, siasatan kes kematian Zara Qairina yang menjurus kepada tiga elemen iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual sudah diserahkan kepada AGC selepas polis selesai mengambil keterangan daripada 195 saksi.

“Kini terpulang kepada AGC untuk menentukan hala tuju seterusnya, sama ada melakukan pertuduhan atau sebaliknya, selain memastikan prosiding inkues dilaksanakan sebagai platform terbaik untuk semua pihak membentangkan bukti secara telus dan terbuka,” katanya dipetik.

Dalam pada itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah menetapkan prosiding inkues bagi kes kematian Zara Qairina ditetapkan bermula 3 September ini.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah bersidang sebagai Koroner, Azreena Aziz, menetapkan tarikh prosiding iaitu pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September.

Seramai 195 saksi akan dipanggil dalam inkues yang berlangsung selama 19 hari itu.

AGC sebelum ini memutuskan supaya inkues dijalankan bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina.

Menerusi kenyataan jabatan itu, ia menjelaskan inkues berkenaan termasuk untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian pelajar berkenaan.

Inkues itu dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada 3 pagi, mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth serta disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top