مَا كَانَ لِلَّهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ سُبْحَٰنَهُۥٓ إِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
“Tidak layak bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia.” (35)
Apabila Nabi Isa dilahirkan tanpa seorang ayah, sebahagian masyarakat menganggap bahawa Baginda ialah anak Tuhan. Ia menjadi pegangan dalam salah satu mazhab Kristian. Dalam sejarah, ada pelbagai pandangan yang berbeza terhadap Nabi Isa.
Ada yang menganggap bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan dan ada juga menganggap bahawa Nabi Isa lain dan Tuhan pula lain (mazhab Unitarian yang percaya bahawa Tuhan adalah satu dan Nabi Isa adalah pesuruh Allah S.W.T). Maka, ayat ini menafikan segala tohmahan yang mengatakan bahawa Tuhan mempunyai anak.
Urusan Allah itu sangatlah mudah. Apabila Dia berkehendak akan sesuatu perkara, maka Dia akan menyebut ‘kun fayakun’. Walaupun kejadian Nabi Isa kelihatan pelik tetapi dengan kuasa-Nya, ia tidak menjadi pelik. Sebab kuasa-Nya tidak terbatas.
Kita pula; ketika masih bertenaga memanglah gagah, ketika muda memanglah cantik, tetapi apabila sudah tua? Kuasa-Nya yang tidak terbatas menyebabkan Dia boleh mencipta seseorang yang lahir daripada rahim ibunya tanpa seorang ayah.
‘Agamalah yang kena ikut zaman’, betul ke?
وَإِنَّ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ هَٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ
“Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah Dia. Ini adalah jalan yang lurus.” (36)
Nabi Isa telah menceritakan segalanya mengenai dirinya. Baginda juga menjelaskan bahawa Allah merupakan Tuhan yang sebenar yang mesti disembah. Turut diberitahu bahawa jalan yang lurus ialah jalan Tauhid.
Nabi-nabi membawa akidah Tauhid yang sama. Yang berbeza cuma syariat atau peraturan atau undang-undang sebab zaman yang berbeza. Kehidupan manusia juga terikat dengan suasana sekeliling. Sebagai contoh pada zaman Nabi Adam, berlakunya perkahwinan antara adik-beradik. Sebab tidak ramai orang pada ketika itu.
Kemudian, peraturan pun berubah dari semasa ke semasa disebabkan oleh perkembangan suasana. Namun begitu, perubahan-perubahan syariat tersebut telah diperbetulkan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Inilah syariat terakhir dan ia sudah tidak boleh diubah lagi.
Mungkin ada yang kata, “Kerana zaman berbeza, kita pun kena sesuaikanlah ajaran Nabi ini dengan zaman”. Sebenarnya bukan begitu. Yang betulnya adalah zaman kena dibetulkan dengan ajaran Nabi, bukan ajaran Nabi yang kena ikut zaman.
Inilah yang diusahakan oleh golongan modernis seperti liberalis. Contohnya dalam harta pusaka, anak lelaki akan memperoleh lebih bahagian berbanding anak perempuan. Tetapi mereka lebih cenderung supaya harta itu dibahagikan secara sama rata antara anak lelaki dan anak perempuan. Ada juga yang cenderung untuk diberikan lebih kepada anak perempuan sekiranya dia menyara keluarga.
Akidah tauhid, jalan yang lurus
Jalan yang lurus adalah dengan menyembah Allah S.W.T. Ajaran Kristian ditolak oleh Islam kerana mempercayai bahawa Tuhan ada tiga atau disebut sebagai Trinity. Ajaran Yahudi pula mempercayai bahawa Tuhan adalah satu tetapi menyamai dengan sifat manusia.
Jadi, yang benar adalah ajaran yang Nabi bawa. Kesimpulan akidah orang beriman telah dijelaskan dalam surah al-Ikhlas iaitu:
1. Allah adalah Esa. Tiada dua, tiga, empat, lima atau enam. Tidak serupa dengan agama Kristian, Majusi, Hindu dan Buddha.
2. Allah bersifat As-Somad iaitu tempat sebenar bagi manusia tuju, bergantung dan berlindung. Jadi, tidak perlu lagi untuk menyembah pusu, meminta syafaat daripada orang lain atau pergi ke tempat keramat.
3. Allah tidak beranak, maknanya tidak beristeri dan tiada anak. Dan Allah tidak diperanakkan, maka secara tidak langsung menolak ajaran yang menganggap bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan.
4. Tiada yang serupa dengan-Nya.
Walaupun ada patung besar dibuat di Batu Caves namun ia tidak serupa dengan-Nya. Masjid pun sepatutnya tiada apa-apa hiasan di dalamnya agar kita dapat mengosongkan jiwa. Dan bumbungnya pula yang menaik ke langit melambangkan perjalanan rohani manusia. Solat disebut sebagai ‘Mikraajul Mukmin’ (perjalanan rohani orang beriman).
Ada kisah-kisah yang menceritakan bagaimana keadaan orang yang khusyuk dalam solat, antaranya adalah:
1. Ketika Saidina Ali dipanah, beliau berasa sakit tiap kali ingin dicabut panah itu. Beliau pun mengambil wuduk dan mengerjakan solat sunat. Ketika beliau solat, panah itu dicabut. Beliau langsung tidak berasa sakit malah tidak menyedarinya.
2. Ada kisah lain di mana ketika orang tengah mengerjakan solat, tiba-tiba bumbung masjid runtuh. Para jemaah masing-masing lari menyelamatkan diri kecuali seorang. Bumbung itu langsung tidak jatuh menimpanya. Dia tidak memberhentikan solatnya.
Kesimpulan akidah secara amali pula dijelaskan dalam surah al-Kafirun. Kita tidak sama dengan orang bukan-Islam dari segi ibadat, cara pemikiran, kehidupan harian, pemakaian, makan minum dan kerja buat. Kebergantungan pada azimat (ada khilaf dalam memakainya) dibimbangi boleh membawa kepada kesyirikan.
Pandangan yang sesat terhadap Nabi Isa
فَٱخْتَلَفَ ٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَيْنِهِمْ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ
“Maka berselisihlah golongan-golongan (yang ada) di antara mereka. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir pada waktu menyaksikan hari yang besar!” (37)
Nasara atau Nazareth yang berdekatan dengan Jerusalem, Palestin merupakan tempat Nabi Isa berdakwah. Pengikutnya dipanggil sebagai Nazarenes. Istilah Nasara atau Nasrani pada hari ini adalah Kristian yang berasal daripada Christ sebab dipercayai bahawa Nabi Isa disalib.
Kristian berpecah membentuk pelbagai pandangan. Sehinggakan persidangan dibuat untuk membahas mengenai Nabi Isa. Ada yang menganggap bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan, sebahagian daripada Tuhan (yang dinyatakan dalam Trinity) dan Tuhan itu sendiri. Lain-lain mazhab dapat dikenali melalui lambang pada gereja.
Ingatkan dah betul, eh silap rupanya…
أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ يَوْمَ يَأْتُونَنَا لَٰكِنِ ٱلظَّٰلِمُونَ ٱلْيَوْمَ فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ
“Alangkah terangnya pendengaran mereka dan alangkah tajamnya penglihatan mereka pada hari mereka datang kepada Kami. Tetapi orang yang zalim pada hari ini (di dunia) berada dalam kesesatan yang nyata.” (38)
Allah memberikan ancaman kepada orang-orang yang sesat, melakukan dosa, kufur dan maksiat bahawa mereka akan berhadapan dengan azab-Nya.
وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ ٱلْحَسْرَةِ إِذْ قُضِىَ ٱلْأَمْرُ وَهُمْ فِى غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
“Dan berilah mereka peringatan mengenai hari penyesalan, (Iaitu) ketika segala perkara telah diputuskan. Dan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak (pula) beriman.” (39)
Hari kiamat mempunyai pelbagai nama lain selain daripada Yaumul Hasrah, antaranya adalah Yaumun Nadamah. Nanti akan ada orang yang menyesal dan berputus asa akibat kesilapan-kesilapan yang dilakukan di dunia. Di akhirat, barulah nampak rupa-rupanya apa yang dilakukan selama ini adalah silap. Sebab hijab terbuka di sana (akhirat).
Oleh sebab itu, ramai yang keliru dalam hidup. Pertama ialah disebabkan oleh jahil dan tidak belajar. Kedua ialah orang yang sesat dalam ilmunya sebab ilmu digunakan untuk kepentingan dunia. Oleh itu, belajarlah ilmu untuk mencari jalan yang lurus.
Bacalah Al-Fatihah dengan betul
Mengapa dalam solat, tidak boleh meninggalkan bacaan surah al-Fatihah? (kecuali dalam Mazhab Hanafi, boleh membaca surah lain kalau tidak dapat membacanya). Dalam Mazhab Syafie, solat menjadi tidak sah kalau tidak membacanya dan tidak membacanya dengan betul. Salah sebutan akan menyebabkan maknanya menjadi lain.
Sebab surah al-Fatihah wajib dibaca adalah:
1. Ummul Kitab (ibu kandungan al-Quran).
2. Adanya ‘Ihdinas Sirotol Mustaqim’ yang bermaksud ‘Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus’.
Sekiranya doa ini dibaca sebanyak 17 kali (17 rakaat sehari) dalam solat, nescaya Allah akan membuka dan menunjukkan jalan yang lurus kepada kita. Dengan syarat, kita membacanya dengan bacaan yang betul dan hati yang betul (bersungguh-sungguh).
Di hadapan kita, ada bermacam-macam lambang, warna dan yang petah berhujah, jadi kita mahukan jalan yang benar sebab kalau tidak, kita akan sering keliru. Sebab pada akhir zaman, Nabi pernah berkata, perkara yang baik akan dilihat buruk dan begitulah sebaliknya.
Nak untung dunia dan akhirat
إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ ٱلْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ
“Sesungguhnya Kamilah mewarisi bumi dan semua orang yang ada di atasnya dan hanya kepada Kamilah mereka dikembalikan.” (40)
وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ إِبْرَٰهِيمَ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا
“Ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang Nabi.” (41)
Allah berpesan kepada Nabi agar tidak runsing terhadap penentangan manusia terhadap agama sebab semua ini adalah milik-Nya. Apabila tibanya (kiamat), Allah akan memutuskan siapa yang betul dan salah, untung dan rugi, bahagia dan sedih serta gembira dan dukacita.
Kita perhatikan ada orang Islam yang ditekan, ditindas dan dizalimi sebab musuh menguasai senjata, ekonomi dan teknologi. Kelak nanti akan diketahui di mana tempat orang Islam dan orang kafir. Oleh itu, tidak usahlah kita berasa kecewa. Apa yang penting adalah kita berusaha menjaga agama dan diri kita walau dalam keadaan apa sekalipun. Kalau kita susah dan tidak pula mengerjakan solat, maka rugilah kita di dunia dan akhirat. Akhirnya, kita akan kekal di dalam neraka sampai bila-bila.
Kebijaksanaan Nabi Ibrahim
إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِى عَنكَ شَيْـًٔا
“Ingatlah ketika dia (Ibrahim) berkata kepada bapanya: “Wahai bapaku! Mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolongmu sedikit pun?” (42)
Ayah Nabi Ibrahim bekerja sebagai pembuat patung berhala dan menjualnya agar orang menyembahnya:
يَٰٓأَبَتِ إِنِّى قَدْ جَآءَنِى مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَٱتَّبِعْنِىٓ أَهْدِكَ صِرَٰطًا سَوِيًّا
“Wahai bapaku! Sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.” (43)
Kebijaksanaan diberikan kepada Nabi Ibrahim sejak awal lagi. Baginda beriman dengan merenungi ciptaan alam. Baginda terfikir siapakah Tuhan? Kalau matahari, ia tenggelam apabila tiba waktu malam. Kalau bulan pula, ia setakat 15 hari bulan, makin lama makin mengecil dan menghilang. Akhirnya, Allah memberikan wahyu kepadanya mengenai akidah Tauhid.
Setelah menerima wahyu itu, Baginda berhujah dengan ayahnya mengenai berhala. Mengapa berhala disembah lagi walhal ia tidak mampu bercakap dan mendengar:
يَٰٓأَبَتِ لَا تَعْبُدِ ٱلشَّيْطَٰنَ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ عَصِيًّا
“Wahai bapaku! Janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.” (44)
Baginda mahu ayahnya kembali ke jalan yang betul:
يَٰٓأَبَتِ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِّنَ ٱلرَّحْمَٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَٰنِ وَلِيًّا
“Wahai bapaku! Sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab daripada Yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan.” (45)
Apabila menyembah berhala, ia adalah umpama menyembah syaitan. Disebabkan oleh dorongan syaitan, orang memuja benda-benda pelik:
قَالَ أَرَاغِبٌ أَنتَ عَنْ ءَالِهَتِى يَٰٓإِبْرَٰهِيمُ لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ وَٱهْجُرْنِى مَلِيًّا
“Bapanya berkata: “Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan aku rejam, dan tinggalkanlah aku untuk waktu yang lama.”“ (46)
Nabi Ibrahim memujuk ayahnya agar meninggalkan agama yang ayahnya pegang itu:
قَالَ سَلَٰمٌ عَلَيْكَ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّىٓ إِنَّهُۥ كَانَ بِى حَفِيًّا
“Ibrahim berkata: “Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.””(47)
Ayahnya berasa marah sebab dia mencari rezeki dengan membuat berhala:
وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَأَدْعُوا۟ رَبِّى عَسَىٰٓ أَلَّآ أَكُونَ بِدُعَآءِ رَبِّى شَقِيًّا
“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan daripada apa yang kamu seru selain Allah dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku.” (48)
Nabi Ibrahim mengajak kaumnya kepada Islam namun mereka menolak. Akhirnya, Baginda memecahkan semua berhala kecuali yang terbesar. Kesan daripada itu, Baginda ditangkap dan dihumban ke dalam api.
Setelah peristiwa itu, Baginda meninggalkan kampungnya. Akhirnya, Baginda memperoleh anak setelah berkahwin dengan Siti Sarah. Cuma ayat ini memberi fokus lebih terhadap Nabi Ishak dan Nabi Yaakub. Kisah mengenai Nabi Ismail (yang merupakan abang kepada Nabi Ishak) disebut dalam surah-surah yang lain:
فَلَمَّا ٱعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَٰقَ وَيَعْقُوبَ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا
“Maka ketika Ibrahim telah menjauhkan diri daripada mereka dan daripada apa yang mereka sembah selain Allah, Kami anugerahkan kepadanya Ishak dan Yaakub. Dan masing-masingnya Kami angkat menjadi Nabi.” (49)
وَوَهَبْنَا لَهُم مِّن رَّحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا
“Dan Kami anugerahkan kepada mereka sebahagian daripada rahmat Kami dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pertuturan yang tinggi di kalangan umat manusia.” (50)
Keturunan Nabi Ibrahim diberikan kemuliaan oleh Allah S.W.T. Selepasnya ada Nabi-nabi lain. Oleh sebab itu, Baginda digelar sebagai ‘Abul Anbiya’ (bapa kepada Nabi-nabi). Daripada Nabi Ibrahim, munculnya Nabi Ishak, kemudian Nabi Yaakub dan daripada situ muncul pula Nabi-nabi dalam kalangan Bani Israel dan akhirnya muncullah Nabi Isa. Manakala daripada Nabi Ismail, munculnya Nabi Muhammad S.A.W.
Semua agama seperti Islam, Kristian dan Yahudi merujuk kepada agama Nabi Ibrahim kerana faktor keturunannya. Betapa istimewanya kedudukan Nabi Ibrahim dan ia diiktiraf oleh ketiga-tiga agama.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 3 Julai 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 3/7/2023