SAMA-samalah kita semak solat kita
فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلشَّهَوَٰتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا
“Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan. (59)”
Penyelewengan akidah mula berlaku. Kemudian, amalan-amalan yang bercanggah dengan agama telah dilakukan dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Nabi-nabi terdahulu telah ditinggalkan terutamanya bab solat. Solat dicuaikan, seperti tidak mengerjakannya pada awal waktu atau pun langsung tidak mengerjakannya. Ada juga yang mengerjakan solat hanya ketika rajin atau tidak sibuk.
Betapa pentingnya solat dalam kehidupan orang yang beriman. Perintah solat bukan sahaja ada pada zaman umat Nabi Muhammad S.A.W malah sudah ada sejak zaman umat terdahulu.
Cuma solat pada zaman umat Nabi Muhammad S.A.W adalah berbeza dari sudut waktu iaitu lima waktu, dan kaedah yang merangkumi qiam (berdiri), rukuk dan sujud. Solat umat terdahulu tidak lengkap sepertimana solat umat Nabi Muhammad S.A.W. Ada yang hanya qiam, hanya rukuk dan hanya sujud serta tidak lengkap lima waktu.
Begitu juga dengan puasa, kita diminta untuk berpuasa selama sebulan, sama ada dua puluh sembilan atau tiga puluh hari. Cara puasa umat terdahulu pula berbeza. Ada yang berpuasa cuma separuh hari, beberapa hari sahaja dan tidak makan makanan tertentu.
Nabi pernah mengatakan bahawa solat merupakan tiang agama. Sesiapa yang mengerjakan solat, maka dia menegakkan agama dan begitulah sebaliknya. Jadi, perbezaan antara orang beriman dan tidak adalah solat. Menurut Mazhab Hanbali, sesiapa yang tidak mengerjakan solat, maka dia jatuh kafir.
Pendapatnya berbeza dengan gurunya iaitu Imam Syafie. Menurut Imam Syafie, seseorang itu jatuh kafir apabila dia menolak kewajipan solat. Kalau dia tidak mengerjakan solat kerana malas tetapi tidak menafikan kewajipannya, dia menjadi seorang yang fasik yang menghalangnya daripada menjadi wali atau saksi nikah.
Kecuaian dalam solat merosakkan umat
Orang yang tidak mengerjakan solat akan hanyut dengan nafsunya. Sebab tujuan utama solat selain daripada ia merupakan perintah agama adalah mencegah daripada perbuatan ‘fahshāʾ‘ iaitu zina dan juga perbuatan mungkar.
Solat adalah umpama pengikat; sepertimana lembu yang dicucuk hidungnya, ia tidak boleh lari jauh kerana makin ia hendak pergi, hidungnya makin berasa sakit. Solat juga umpama brek terhadap sesuatu perkara yang kita mahu lakukan. Kalau kita solat tetapi masih melakukan perkara-perkara maksiat yang besar, bererti solat kita tidak memberi kebaikan kepada kita. Bahkan kita semakin jauh daripada Allah S.W.T.
Solat sebenarnya adalah untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya. Walau sesibuk mana pun, berhentilah untuk solat sebanyak lima kali sehari. Sebab jarang orang berzikir atau berfikir mengenai agama ketika bekerja (jauh dengan Allah). Jadi dengan solatlah, kita kembali semula kepada-Nya.
Namun, kalau solat tidak mampu membentuk akhlak kita dengan baik, maka ia tidak memberikan kesan. Oleh itu, pastikan solat kita adalah yang terbaik. Menurut ulamak, solat yang terbaik adalah kita memahami bacaan-bacaan dalam solat dan khusyuk.
Khusyuk bukanlah bermaksud kita tidak sedar langsung atau tidak mengetahui sudah rakaat ke berapa. Ia merujuk kepada tumpuan kepada ibadah yang kita lakukan. Apabila bacaan masuk ke dalam hati, kita akan berasa gerun hanya kepada Allah dan tidak boleh diperdaya oleh dunia. Misalnya bacaan Iftitah: “Inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi robbil ‘alamin” adalah untuk mencari keredaan-Nya. Jadi, apa sahaja yang kita lakukan seharian akan mengikut ajaran agama.
Syarat agar amalan kita diterima oleh-Nya adalah ikhlas dan mengikut sunnah Nabi. Pertamanya adalah ikhlas iaitu melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Keduanya adalah mengikut sunnah Nabi, bukan setakat memakai jubah, serban atau kain di atas bahu tetapi hendaklah menepati kehendak dan ajaran Nabi.
Apabila tidak mengikut nas iaitu al-Quran dan Hadis, maka muncullah bid’ah. Bid’ah merupakan suatu urusan dalam agama yang direka-reka ataupun tiada rujukan. Kalau perkara itu ada asasnya walaupun baru dan tiada pada zaman Nabi, ia tidak menjadi bid’ah. Sebab ada yang suka menambah-nambah seolah-olah apa yang ada pada zaman Nabi itu tidak mencukupi.
Pentingnya untuk kita memahami bahawa perlu mengikut Sunnah Nabi supaya kita menjadi lebih baik selepas mengerjakan solat. Apabila seseorang itu teguh pendirian dan bergantung kepada-Nya, dia tidak sujud kepada makhluk. Tiada yang lebih besar selain daripada Allah seperti harta, pangkat kemasyhuran dan sebagainya.
Harta dan pangkat digunakan untuk membantu agama seperti mengeluarkan zakat, bersedekah dan membantu orang yang susah. Kalau ada harta banyak, eloklah menunaikan haji berbanding dengan bercuti sana sini. Tetapi ada pula yang berkata (alasan): “Tok sapa seru (Seru belum sampai).” Hakikatnya seruan itu sejak zaman Nabi Ibrahim lagi, Baginda diminta oleh Allah untuk mengajak orang supaya menunaikan haji.
Nabi pernah berkata, yang terawal sekali yang akan hilang di akhir zaman adalah hilangnya kuasa politik, kemudian solat. Sebelum Nabi wafat, Baginda menyebut: “Ummati.. ummati.. ummati (Umatku.. umatku.. umatku..)”. Betapa sayangnya Nabi terhadap umatnya. Sebab Baginda takut kalau umatnya lari daripada agama dan melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Allah. Dalam sirah ada menyebut bahawa Baginda kemudiannya menyebut “assolāh.. assolāh.. assolāh..”.
Jadi, beringatlah kita akan solat yang merupakan tiang agama yang membezakan kita dengan orang bukan-Islam. Kesudahan bagi orang yang tidak mengerjakan solat, mengikut nafsu dan berbuat dosa adalah neraka. Jadi, kita sama-samalah pakat jaga solat.
Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya
إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَأُو۟لَٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْـًٔا
“Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikit pun. (60)”
Orang yang dapat melepaskan diri daripada api neraka ialah yang bertaubat dan menyedari kesilapannya. Taubat adalah umpama berundur semula apabila terlajak. Semua manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan atau dosa. Orang yang berdosa yang paling baik ialah orang yang bertaubat. Bertaubatlah dengan Taubat Nasuha iaitu antaranya adalah berazam sudah tidak mahu melakukannya lagi.
Keduanya ialah orang yang beriman. Apabila terpesong jauh yang menyebabkan rosaknya akidah, maka ia perlu diperbetulkan semula dengan beriman dan melakukan amal yang soleh. Ada kaitan antara iman dan amal soleh. Kalau beriman sahaja, ia tidak memadai. Kesudahan bagi mereka ialah ganjaran syurga, dan pahala mereka tidak dikurangkan sedikit pun.
‘Jalan-jalan’ keluar yang Allah telah sediakan ini merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada kita semua. Ibarat kereta yang rosak di lebuh raya, lorong atau laluan ‘exit’ telah pun disediakan supaya tidak menyebabkan kesesakan berlaku.
Perkara ghaib yang wajib dipercayai
جَنَّٰتِ عَدْنٍ ٱلَّتِى وَعَدَ ٱلرَّحْمَٰنُ عِبَادَهُۥ بِٱلْغَيْبِ إِنَّهُۥ كَانَ وَعْدُهُۥ مَأْتِيًّا
“Iaitu syurga ‘Adn yang telah dijanjikan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah kepada hamba-hambaNya, sekalipun (syurga itu) tidak kelihatan. Sesungguhnya janji Allah itu pasti akan ditunaikan. (61)”
Syurga ‘Adn ialah salah satu daripada tujuh tingkatan syurga. Antara ciri orang yang beriman ialah mempercayai perkara-perkara ghaib yang tidak boleh dilihat, didengar atau disentuh. Perkara ghaib ni bukannya hantu. Tetapi contohnya Allah, malaikat, jin, syurga, neraka, pahala, dosa dan sebagainya.
Orang yang berpegang dengan kepercayaan materialism atau kebendaan adalah bercanggah dengan agama. Sebab mereka tidak mempercayai perkara ghaib. Mereka percaya terhadap perkara fizik (alam zahir) sahaja.
Sedangkan dalam agama, ada alam rohani yang kita tidak nampak kerana dibatasi oleh tabir. Alam zahir dan alam batin adalah selari. Semuanya telah diciptakan oleh Allah S.W.T bukannya ada dengan begitu sahaja. Akibat terpengaruh dengan sains moden dan kebendaan, orang tidak percaya kepada perkara ghaib.
Oleh sebab itu, adanya fizik (alam zahir) dan meta fizik (alam batin). Agama banyak berasaskan kepada perkara rohani. Amalan-amalan agama banyak menyentuh rohani atau jiwa kita. Jiwa kita bahkan iman bersifat rohani. Tanda orang beriman ialah yang mengerjakan solat dan berpuasa. Jika tidak, macam mana nak tahu sama ada seseorang itu beriman atau tidak?
Masuk syurga sebab redha-Nya
لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَٰمًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا
“Mereka tidak mendengar perkataan yang tidak berguna (sia-sia) di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka ada rezekinya di syurga itu setiap pagi dan petang. (62)”
Apabila berada di dalam syurga, tiada perkataan yang mengarut dan sia-sia. Umpama di dalam masjid, tiada seorang pun yang merokok walaupun perokok yang tegar, dan yang berbual-bual ikut sesuka hati. Syurga adalah tempat yang tenang dan aman. Makanan pula tidak perlu difikirkan hendak beli kat mana, asal terlintas sahaja, Insya-Allah akan sampai.
Walaupun banyak beramal, kita belum tentu dapat memasuki syurga kerana syurga adalah milik-Nya. Oleh itu, kita digalakkan untuk membaca satu doa iaitu “Allāhumma innā nas’aluka ridhoka waljannah (Ya Tuhanku, aku memohon kepadamu redha-Mu dan syurga-Mu).” Jadi, kita dapat memasuki syurga bukan disebabkan oleh amal ibadah kita tetapi redha-Nya. Maka, carilah redha-Nya.
Saidina Ali pernah menyebut bahawa ada tiga jenis orang yang beribadah. Pertama ialah ibadah jenis hamba, iaitu takut memasuki neraka. Kedua ialah ibadah jenis berniaga, iaitu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu. Ketiga ialah ibadah jenis merdeka, iaitu melakukan sesuatu kerana perintah-Nya walaupun tidak beroleh apa-apa ganjaran, dan tidak peduli sama ada mendapat pujian manusia atau tidak.
Jadi, berusahalah untuk meningkatkan tahap ibadah kita sekurang-kurangnya di tahap ibadah jenis hamba. Rabi’atul Adawiyah ialah salah seorang ahli sufi wanita yang hebat di Basrah. Beliau sentiasa bangun malam mengerjakan solat sunat Tahajud.
Beliau pernah berdoa dengan satu doa “Wahai Tuhanku, kalau aku beribadah kerana takut akan neraka, maka campakkanlah aku ke dalam neraka. Kalau aku beribadah kerana inginkan syurga, maka haramkanlah syurga bagiku. Kalau aku beribadah semata-mata kerana Engkau, terimalah ibadahku ini.”
Hebatnya beliau sehingga pernah dipinang oleh Junaid Al-Baghdadi namun beliau menolak pinangan tersebut. Junaid merupakan ulamak tasawwuf yang hebat pada masa itu, mempunyai ramai anak murid dan ramai yang datang membanjiri setiap kali ceramahnya. Penolakan itu adalah kerana beliau bimbang tidak dapat menumpukan masa terhadap ibadah selepas berkahwin:
تِلْكَ ٱلْجَنَّةُ ٱلَّتِى نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا
“Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa. (63)”
Bidadari juga akan diperoleh kerana sudah ada dalam ‘package’ atau ‘all-in’. Seorang akan memperoleh tujuh puluh orang bidadari. Kalau di dunia, setakat empat sahaja. Oleh sebab itu, orang tua tidak boleh memasuki syurga.
Dalam Hadis diceritakan ada seorang wanita tua datang bertemu dengan Nabi. Nabi mengusiknya dengan memberitahu bahawa orang tua tidak boleh memasuki syurga. Wanita itu menjadi sedih. Nabi pun tersenyum dan menjelaskan bahawa nanti orang-orang akan memasuki syurga dalam keadaan muda, remaja dan sempurna segala anggota malah sihat tubuh badan.
Tiada yang perlu dikhuatiri kerana semuanya telah disediakan di dalam syurga. Apa yang penting adalah usaha untuk mempersiapkan diri kita supaya layak memasuki syurga.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 17 Julai 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 17/7/2023