Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (6)

Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (6)

PENTINGNYA pengakhiran dengan niat yang baik

Advertisement

فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلشَّهَوَٰتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), (59)”

Orang yang beriman dan beramal soleh dengan betul akan memasuki syurga. Kita manusia memang tidak dapat lari daripada melakukan dosa, sama ada dosa besar mahupun dosa kecil. Secara asasnya, orang yang berbuat dosa akan memasuki neraka kecuali orang yang bertaubat dengan Taubat Nasuha. 

Ada satu kisah mengenai dua beradik, salah seorang daripadanya sentiasa beribadah manakala seorang lagi pula suka berbuat maksiat. Pada suatu ketika, masing-masing sudah pun berusia dan mula terfikir. Yang jahat terfikir untuk beribadah dan bertaubat. Yang baik pula terfikir untuk merasai nikmat dunia akibat godaan syaitan. 

Mereka berdua masing-masing kelam kabut kemudian berlanggar antara satu sama lain dan akhirnya meninggal dunia. Lalu, malaikat bertanya kepada Allah mengenai kesudahan mereka sama ada di syurga atau neraka. 

Allah menjawab, yang bergegas naik nak buat ibadah itu dimasukkan ke dalam syurga dan yang bergegas turun nak buat maksiat itu dimasukkan ke dalam neraka. Demikianlah kesudahan bagi mereka kerana bergantung pada niat. Di akhirat, kita akan dibangkitkan dalam keadaan apa niat kita ketika meninggal. 

Taubat menyucikan dosa

Satu doa yang diajarkan supaya kita membacanya setiap kali selepas solat iaitu: 

أَللّٰهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الْخَاتِمَةِ

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah dan janganlah engkau akhiri hidup kami dengan su’ul khatimah.”

Ada kisah lain mengenai seseorang yang jahat kerana telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang. Pada suatu ketika, dia terfikir untuk berubah lalu pergi berjumpa dengan Tok Lebai (kurang alim) kerana berasa menyesal dan mahu bertaubat. Tok Lebai itu memberitahunya bahawa Allah tidak akan menerimanya dan dimasukkannya ke dalam neraka. Setelah itu, dia naik angin lalu bertekad untuk membunuhnya. Jadi, cukup seratus orang yang dibunuhnya. Dia termenung dengan tindakannya. 

Kemudian, dia bertemu dengan orang alim dan menceritakan segalanya yang telah berlaku. Orang alim itu memberitahu bahawa kejahatannya memang banyak tetapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kata ulamak, walau banyak mana sekali pun dosa kita, namun rahmat-Nya jauh lebih besar. Kalau kita benar-benar bertaubat, Allah akan menerima taubat kita. 

Orang alim menasihatinya agar keluar dari kampungnya yang penuh dengan maksiat sebab ia akan menghalangnya daripada menjadi lebih baik. Lalu, dia pun berjalan keluar menuju ke kampung yang baik, namun rebah di pertengahan jalan dan akhirnya meninggal dunia. 

Malaikat rahmat dan malaikat azab pun turun dan masing-masing mahu membawa rohnya. Lalu, kedua-dua malaikat naik ke langit menghadap Allah. Allah mengarahkan malaikat untuk mengukur jarak antara tempat dia meninggal dengan kampung yang ditinggalkannya dan kampung baru yang ingin ditujunya. 

Hasilnya adalah jarak antara tempat dia meninggal dengan kampung baru itu lebih dekat. Jadi, Allah memerintahkan agar dia dimasukkan ke dalam syurga. Taubatnya membersihkan segala dosa walaupun dia tidak sempat beramal. 

Orang-orang jahat pada zaman Nabi Muhammad S.A.W contohnya membunuh bapa saudara Nabi. Apabila mereka memeluk Islam, jadi tidak perlu diungkit lagi kejahatan mereka. Mereka berbuat jahat tanpa sedar, dan apabila mahu menjadi lebih baik, kita perlu menerimanya. Kita tidak boleh menghalang orang yang mahu berubah kepada lebih baik. 

Kena latih niat nak buat baik

Daripada Sahl bin Sa’ad bahawa Nabi S.A.W bersabda:

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ

“Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya”. 

[Riwayat al-Thabarani (5942) dalam al -Mu’jam al-Kabir, 185/6]

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa niat untuk berbuat kebaikan, walaupun mungkin tidak sempat melaksanakannya. Contoh niat: 

“Aku nak bangun tahajud” – nak bangun tahajud tetapi terlajak tidur atau kenyang sebab makan tengah malam.

“Aku nak sembahyang Dhuha”.

“Aku nak sedekah” – mungkin nak sedekah tetapi tiada duit, atau nak sedekah tetapi anak sakit atau untuk belanja sekolah anak.

Kata ulamak, niat haruslah dilatih agar kita sentiasa mahu berbuat kebaikan, kerana itu adalah lebih baik. 

Mudoh bbenar nok masuk syurga!

إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَأُو۟لَٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْـًٔا

“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, (60)”

جَنَّٰتِ عَدْنٍ ٱلَّتِى وَعَدَ ٱلرَّحْمَٰنُ عِبَادَهُۥ بِٱلْغَيْبِ إِنَّهُۥ كَانَ وَعْدُهُۥ مَأْتِيًّا

“(Iaitu) Syurga “Adn” yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.” (61)

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَٰمًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا

“Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa). (62)”

Sepanjang masa kita boleh makan dan minum di dalam syurga. Semuanya telah disediakan, kita sudah tidak perlu nak fikir:

تِلْكَ ٱلْجَنَّةُ ٱلَّتِى نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا

“Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami. (63)”

Orang yang bertakwa Insya-Allah akan memasuki syurga. Jalan untuk ke syurga sebenarnya tidak susah, cuma kita yang tidak mencarinya dan melaluinya. Antaranya ialah beriman, beramal soleh dan bertakwa iaitu melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. 

Daripada Abi Umamah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardhu, nescaya tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”.

 [Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (7532) dan al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (9848). Hadis ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban]

Hadis di atas menyebutkan mengenai ayat Kursi. Sesiapa yang sentiasa membacanya pada setiap kali selepas solat lima waktu, tiada yang menghalangnya daripada memasuki syurga kecuali mati. 

Sabda Baginda S.A.W lagi di dalam Hadis yang lain:

وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ

“Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.

Hadis di atas menyebutkan mengenai Sayyidul Istighfar yang terdapat dalam ma’thurat. Jika sesiapa membacanya pada waktu pagi, petang atau malam, kemudian meninggal pada waktu itu, maka dia akan memasuki syurga. Bacaannya adalah:  

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

“Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berpegang dengan perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku akui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah daku; sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain-Mu.” 

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصِلُوا الأَرْحامَ وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

“Hai orang ramai, sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat.” (Riwayat Ibnu Majah (3251))

Dalam Hadis di atas, Nabi pernah bersabda yang bermaksud bahawa orang yang mengucapkan salam, memberi makan kepada orang susah, menghubungkan silaturrahim dan bangun sembahyang di waktu malam, nescaya akan memasuki syurga dengan sejahtera. 

‘Timing’ Subuh dan Asar penting tahu

وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ لَهُۥ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا وَمَا خَلْفَنَا وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

“Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, (64)”

Malaikat turun bergilir-gilir mengikut arahan Allah S.W.T. Kata ulamak, solat fardhu Subuh dan solat fardhu Asar adalah yang paling utama, sebab malaikat bergilir pada ketika itu. Kalau kita mengerjakan solat fardhu Subuh atau Asar di masjid secara berjemaah, rekod kita baik sebab malaikat yang turun dan naik sama-sama melihat kita. Kalau Allah tanya mengenai kita, malaikat boleh jawab. Jadi, ‘timing’ itu amat penting. 

Ada malaikat ‘Hafazah’ sebanyak dua puluh malaikat yang khusus menjaga keselamatan kita. Kadang-kadang, orang yang terlibat dalam kemalangan, kereta remuk tetapi pemilik kenderaan dalam keadaan baik. Kanak-kanak yang jatuh dari tempat tinggi tetapi tidak patah dan sakit. 

Cuma ia bergantung pada diri kita. Kalau kita baik, malaikat akan berada rapat dengan kita. Kalau kita jahat, malaikat tetap mengikuti kita tetapi berada berjauhan dengan kita. Kalau kita rajin beribadah dan berzikir, malaikat inilah yang akan mengawal kita. Insya-Allah, kita akan selamat daripada gangguan dan kejahatan makhluk. 

Sunnatullah... ada cause & effect

رَّبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَٱعْبُدْهُ وَٱصْطَبِرْ لِعِبَٰدَتِهِۦ هَلْ تَعْلَمُ لَهُۥ سَمِيًّا

 “Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadah kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding denganNya?” (65)

Tuhan ialah yang menciptakan langit dan bumi dan segala isinya, bukan Tuhan yang disembah seperti patung yang tidak boleh berbuat apa-apa. Dia yang mengurus dan mentadbir segalanya seperti pusingan cakerawala, giliran musim dan bencana alam. 

Contohnya bumi yang sentiasa berpusing mengelilingi matahari menyebabkan berlakunya siang dan malam. Kajian sains telah membuktikannya. Bahagian yang menghadap matahari, berlakunya waktu siang. Manakala bahagian yang terlindung daripada matahari, berlakunya waktu malam. Ada tempat yang mengalami siang selama 6 bulan dan malam selama 6 bulan. 

Setiap ciptaan-Nya akan mempunyai ‘cause and effect’ (sebab dan akibat). Bukan seperti silap mata. Contohnya:

1. Hujan yang lebat (sebab) menyebabkan berlaku banjir (akibat).

2. Bumi bergerak (sebab) menyebabkan berlaku gempa bumi (akibat).

3. Tolakan air daripada dasar laut (sebab) menyebabkan berlaku tsunami (akibat) ibarat tolakan air dari bawah baldi yang dipenuhi air.

4. Awan yang menyerap air (sebab) menyebabkan berlaku hujan (akibat), kerana lama-kelamaan awan yang berat dengan air itu akan menurunkan air sebagai hujan, ibarat span yang berat dengan air akan menyebabkan air turun begitu sahaja. Secara saintifiknya begitu tetapi itu semua adalah kuasa-Nya.

Itu mudah sahaja bagi Allah

وَيَقُولُ ٱلْإِنسَٰنُ أَءِذَا مَا مِتُّ لَسَوْفَ أُخْرَجُ حَيًّا

“Dan manusia (yang kafir) berkata: “Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?” (66)”

أَوَلَا يَذْكُرُ ٱلْإِنسَٰنُ أَنَّا خَلَقْنَٰهُ مِن قَبْلُ وَلَمْ يَكُ شَيْـًٔا

“Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun? (67)”

Ayat ini menjelaskan bahawa orang kafir tidak percaya akan hari akhirat. Ada bermacam-macam jenis kafir antaranya kafir yang sombong seperti iblis. Iblis lebih mengenali Allah berbanding manusia, sebab dia berada di langit dan beribadah dengan malaikat. Kekafirannya itu akibat dia sombong tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. 

Orang kafir tertanya-tanya, adakah masih ada hidup setelah mati sedangkan jasad sudah pun hancur? Dalam surah Yasin, ada disebutkan mengenai seseorang yang bernama Umaiyyah bin Khalaf. Dia merupakan salah seorang ketua Quraisy yang hebat, kaya dan sombong. 

Ketika Rasulullah berbicara mengenai hari akhirat dan kehidupan setelah mati, dia tidak mempercayainya. Dia mengambil tulang yang sudah reput dan membawanya ke hadapan Nabi sambil meramasnya sehingga hancur. Allah menjawab bahawa Dia yang mula-mula mencipta manusia boleh menghidupkan semula. 

Lebih mudah kalau nak menghidupkan semula berbanding dengan yang mula-mula mencipta. Pencipta terawal itu jauh lebih hebat. Contohnya nak membina sebuah rumah berdasarkan pelan yang sudah ada. Tiba-tiba, rumah itu runtuh. Ia boleh dibina semula sebab sudah ada pelan. Ini permainan logik yang Allah berikan kepada orang kafir. 

Selamatkah kita dari api neraka?

فَوَرَبِّكَ لَنَحْشُرَنَّهُمْ وَٱلشَّيَٰطِينَ ثُمَّ لَنُحْضِرَنَّهُمْ حَوْلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا

“Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam. (68)”

Di akhirat, orang kafir dan syaitan yang menghasutnya akan dihimpunkan di tepi neraka (dalam keadaan hina) sebelum dicampakkan ke dalamnya:

ثُمَّ لَنَنزِعَنَّ مِن كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى ٱلرَّحْمَٰنِ عِتِيًّا

“Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka. (69)”

Allah akan memilih orang yang paling jahat untuk dicampakkannya ke dalam neraka terlebih dahulu:

ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ بِٱلَّذِينَ هُمْ أَوْلَىٰ بِهَا صِلِيًّا

“Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dengan api neraka itu. (70)”

Kita semua akan melalui Titian Sirat. Halusnya seperti sehelai rambut yang dibelah kepada tujuh. Betapa halusnya dan dari segi logiknya, macam mana nak meniti di atasnya? 

Orang yang beriman dapat melepasinya. Meniti di atasnya bergantung pada amal, contohnya: ada yang seperti kilat, naik kenderaan, naik haiwan, berjalan kaki dan merangkak:

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا

“Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. (71)”

Orang kafir akan jatuh ke dalam api neraka. Orang beriman insya-Allah akan selamat cuma masing-masing berbeza, sebab ada yang merangkak, berjalan, berlari dan laju. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 24 Julai 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 25/7/2023

Scroll to Top