Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (8)

Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (8)

وَٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ ءَالِهَةً لِّيَكُونُوا۟ لَهُمْ عِزًّا

Advertisement

“Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka.” (81)

Orang-orang kafir menyembah selain daripada Allah S.W.T dengan harapan ia boleh melindungi, menjaga kemuliaan dan memberi pengaruh kepada mereka:

كَلَّا ۚ سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

“Sekali-kali tidak! Kelak mereka (sembahan-sembahan itu) akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka.” (82)

Orang-orang kafir menyembah berhala. Contoh berhala adalah pokok kayu, pusu dan kubur keramat termasuklah pemikiran yang salah atau disebut sebagai ideologi Barat yang bercanggah dengan agama Islam. Bahkan sesetengah ulamak menyebut, nafsu yang dituruti sehingga melanggar perintah Allah juga dikategorikan sebagai berhala. 

Pada hari kiamat, berhala yang disembah akan berlepas diri. Sedangkan mereka menyembahnya dengan harapan mereka boleh bergantung dengannya dan ia dapat membantu mereka di akhirat. 

Begitu juga dengan pergantungan kita dengan manusia lain dalam hidup. Sama ada yang bergantung dengan pemimpin atau sesebuah kumpulan sehingga melanggar agama, semuanya akan berlepas diri. 

Bahkan syaitan sendiri pun apabila berhadapan dengan Allah dan mengetahui mengenai azab di akhirat, ia akan berlepas diri. Ia menyoal, mengapa kita menyembahnya, mengikutinya serta termakan dengan hasutan dan godaannya? 

Syaitan, musuh yang utama

أَلَمْ تَرَ أَنَّآ أَرْسَلْنَا ٱلشَّيَـٰطِينَ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا

“Tidakkah kamu melihat, bahawasanya Kami telah mengirimkan syaitan-syaitan itu kepada orang kafir untuk menghasut mereka berbuat maksiat dengan sungguh-sungguh?” (83)

Dalam ayat ini, bukan bermakna bahawa Allah menyuruh syaitan untuk menggoda dan menyesatkan manusia. Tidak sama sekali. Maksudnya di sini ialah Allah melepaskan syaitan dengan memberi peluang kepadanya untuk menggoda manusia. 

Kalau diimbas kembali, kisahnya bermula dengan keengganan Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam A.S. Allah menjatuhkan hukuman terhadapnya dan ia menjadi kufur. Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka. Ia memohon kepada Allah untuk menangguhkan seksaan terhadapnya dan memberikannya peluang untuk menyesatkan anak Nabi Adam. 

Iblis umpama ketua atau panglima perang. Bala tenteranya ialah syaitan yang terdiri daripada jin dan manusia. Iblis beribadah di langit. Sehinggalah ketika Allah menciptakan Nabi Adam, ia kufur dan dihalau keluar dari langit bersama-sama dengan Nabi Adam dan Hawa. Ia bersama-sama dengan bala tenteranya akan menyesatkan anak Nabi Adam. Allah memberikan peluang sesuai dengan permintaannya (Iblis) dengan melepaskannya sehingga ke hari kiamat. 

Hidup ini adalah ujian. Musuh kita yang utama ialah syaitan. Kita bukannya berlawan dengan manusia, sebenarnya kita berlawan dengan hasutan serta perancangan iblis dan sekutunya yang dipanggil sebagai syaitan. 

Iblis ‘menghias’ sesuatu agar nampak elok. Ia menghasut agar kita menganggap bahawa pemikiran kita adalah betul walaupun ia bercanggah dengan kebenaran agama. Oleh sebab itu, terhasilnya pemikiran-pemikiran, fahaman-fahaman dan perbuatan-perbuatan yang pelik dan menyalahi norma agama, namun yang melakukannya tidak merasa apa-apa dan menganggapnya biasa.

Bahkan menganggap bahawa tingkahnya itu adalah bagus dan moden. Manakala yang dilakukan oleh Tok Lebai atau orang alim pula dianggap sebagai suatu yang lapuk, jumud dan kolot. Kononnya perlu diubah cara pemakaian, kehidupan, percakapan dan pergaulan. Menggunakan istilah moden dan kemajuan, kita telah disesatkan sehingga melanggar batas agama. 

Mengapa Allah memberikan peluang tersebut kepada syaitan? Sepatutnya syaitan tidak perlu ada pun supaya kita dapat beramal ibadah. Namun, di situlah ada nilainya apabila kita bertarung. Orang yang mempunyai nafsu dan berlawan dengannya untuk melakukan perkara kebaikan sedangkan nafsunya itu mengheretnya ke arah kejahatan (tidak mahu mengerjakan sembahyang, sembahyang berjemaah, mendengar kuliah dan bersedekah). 

Contohnya, menghadapi kesukaran untuk bangun sembahyang Subuh sebab kadang-kadang tubuh badan letih kerana tidur lewat malam. Namun, kita tetap bertahan walaupun berasa sejuk atau mengantuk. Kita bangun dan pergi ke masjid. Kita berlawan dengan nafsu, jadi di situlah ada nilainya. 

Bertarung melawan nafsu itu mahal nilainya

Sayyidina Umar berkata, orang yang mempunyai nafsu dan dia berlawan dengannya itu lebih mahal nilainya berbanding dengan orang yang tidak mempunyai nafsu dan dia melakukan apa sahaja tanpa halangan. Oleh sebab itu, antara sebab mulianya kita manusia berbanding dengan malaikat adalah kerana kita mempunyai nafsu dan kita berlawan dengannya. Malaikat ‘juruh‘ kerana tidak mempunyai nafsu dan tidak berjantina. 

  • Semasa Almarhum Dr Haron Din mengajar di universiti dahulu, beliau mengajar subjek Z.I (Kenegaraan) Pelajarnya kebanyakan terdiri dari kalangan pelajar bukan Islam kerana subjek tersebut wajib diambil oleh pelajar-pelajar yang tidak mengambil pengajian Islam. 

Beliau mengajar mengenai malaikat dan memberitahu bahawa malaikat tidak berjantina. Pelajarnya berasa hairan lalu beliau mengambil pemadam papan hitam dan bertanya mengenai jantinanya. Contoh yang ditunjukkannya itu membuktikan bahawa ada benda yang bukan jantan atau betina. Begitulah juga dengan malaikat yang bukan jantan, bukan betina, pondan jauh sekali. 

Malaikat juga tidak mempunyai nafsu. Contohnya, kalau Allah menyuruhnya supaya sujud, maka ia akan sujud sehingga ke hari kiamat. Kalau Allah menyuruhnya supaya qiam, maka qiamlah ia. Kalau Allah menyuruhnya supaya buat kerja sekian sekian, maka bekerjalah ia. Ia tidak reti (pandai) ponteng. 

Nafsu, bukan untuk dimatikan tetapi perlu dikawal oleh akal

Antara bernilainya manusia ialah apabila kita bertarung dan berlawan dengan nafsu yang ada. Oleh sebab itu, nafsu tidak boleh dimatikan dalam Islam. Dilarang daripada menjadi seperti Tok Cha yang tidak memakan daging untuk mematikan nafsu sebab tidak mahu berkahwin. Paderi-paderi Kristian juga cuba mematikan nafsu. Begitu juga dengan pendeta-pendeta Hindu di tepi Sungai Ganjes atau Gangga di India yang sehingga tidur dan duduk di atas batu sebab mereka tidak makan dan minum. 

Islam melarang kita daripada berbuat sedemikian sehingga menafikan sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah dalam diri kita. Seperti halnya dalam soal perkahwinan. kita digalakkan untuk berkahwin. Kahwin termasuk dalam sunnah Nabi S.A.W. Baginda menyebut yang bermaksud, Sesiapa yang tidak menyukai sunnah aku, maka dia bukan umat aku” [1]. 

Ini bermakna bahawa nafsu tidak harus dimatikan tetapi harus dikawal. Menurut Imam Ghazali, kerana nafsu kita menjadi seorang yang berani, hebat, cemburu dan sensitif terhadap agama. 

Apabila ada cemburu antara suami dan isteri, akan adanya maruah. Kalau tiada rasa cemburu, orang lain boleh mengurat isterinya. Perasaan cemburu itu datang daripada nafsu. 

Seseorang itu menjadi berani kerana dia mahu menjaga kehormatannya. Untuk menjaga kehormatan agama, jadi perlunya untuk kita berjihad. Apabila seorang suami menjaga kehormatan isteri, anak dan keluarganya, dia akan menjadi berani. Kalau rumah kita diceroboh atau dirompak, kita berlawan dan mati, mati kita itu adalah mati syahid (syahid dunia). Sebab kita mempertahankan maruah kita, isteri dan keluarga serta harta benda kita. 

Islam tidak mengajar kita untuk mematikan nafsu tetapi perlu mengawal nafsu dengan akal. Nafsu inginkan bermacam-macam benda. Seseorang itu tidak melakukan perkara-perkara jahat adalah kerana agama dan akal yang mengawalnya. Akal tersebut dibimbing oleh syarak dan wahyu. 

Sesetengah orang cerdik pandai memberikan sebab mengapa kita manusia diciptakan secara berdiri. Hal ini kerana otak yang berada di atas adalah raja sebenar. Oleh sebab itu, kita dilarang untuk makan melebihi had dan berkahwin melebihi empat orang isteri demi memuaskan nafsu. 

Biar akal yang mengawal segalanya terutama melibatkan hati. Apabila timbul hati yang dengki dan benci tanpa sebab terhadap orang lain, akal yang boleh menjaganya. Begitu juga dengan perut yang mahu bermacam-macam benda. Contohnya pada bulan Ramadan, habis makanan dan minuman ingin dibelinya. Sedangkan (ikut akal) kalau minum sejenis air sudah mencukupi. Akhirnya kita kekenyangan sehingga solat Maghrib entah ke mana. 

Apatah lagi syahwat atau kemaluan yang berada di bawah dan tersembunyi. Lelaki dan perempuan masing-masing mempunyainya. Apabila ia didedahkan, maka orang itu tiada lagi rasa malu. Kalau kita hanya ingin melepaskan nafsu, kita akan menjadi seperti binatang. Oleh itu, betapa pentingnya kita menggunakan akal yang dipandu oleh syarak. 

Iman walau sekelumit, akan masuk syurga jua

فَلَا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا

“Maka janganlah kamu (Muhammad) tergesa-tergesa memohon seksaan terhadap mereka, kerana sesungguhnya Kami menghitung datangnya (hari seksaan) untuk mereka dengan perhitungan yang teliti.” (84)

Kalau kita mengajak orang lain ke arah kebaikan, tetapi mereka tidak mahu menerimanya, maka tidak usah kita bimbang. Biar Allah sahaja yang menentukan. Kita tidak perlu rasa berputus asa dan menyampah dengan mereka. Penerimaan itu bergantung pada hidayah-Nya. 

Walaupun orang kafir merasakan diri mereka hebat, namun masa mereka berkuasa di dunia cuma pendek sahaja. Mereka boleh bermaharajalela selagi mana dunia ada. Usia dunia juga tidak lama dan kita sedang menuju ke hari akhirat. 

Kalau kita berumur 80 tahun dan berasa umur kita masih panjang, sebenarnya kita silap. Umur kita sebenarnya sudah pendek sebab yang tinggal mungkin tiga tahun lagi. Ibarat lampu dinding yang lama-kelamaan akan terpadam. 

Seperti lirik sebuah nasyid Pelita Hidup yang dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz, 

Hidup ini bagai lampu dinding,
Yang dinyalakan di malam hari,
Apabila minyak sudah kering, 
Ia kan pasti padam sendiri:

يَوْمَ نَحْشُرُ ٱلْمُتَّقِينَ إِلَى ٱلرَّحْمَـٰنِ وَفْدًا

“(Ingatlah) pada hari (ketika) Kami mengumpulkan orang yang bertakwa kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat. (85)

Orang yang bertakwa akan dihimpunkan secara berkumpulan untuk datang bertemu dengan Allah dan dimasukkan ke dalam syurga. Orang kafir pula datang secara tidak tersusun (seperti bersesak-sesak dalam pasaraya) dan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam (yang paling bawah):

وَنَسُوقُ ٱلْمُجْرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًا

“Dan Kami akan menghalau orang yang derhaka ke neraka Jahannam dalam keadaan dahaga.” (86)

Orang kafir tidak mempunyai peluang sedikit pun untuk mendapat rahmat. Manakala orang beriman yang meninggal dalam keadaan beriman walaupun dia jahat (selagi ada iman), mungkin dia boleh mendapat syafaat. Antara syafaatnya adalah azab diringankan atau dikeluarkan daripada neraka. 

Sebab orang yang ada iman akan dimasukkan seketika ke dalam neraka kerana dosanya. Sehinggalah apabila habis tempoh hukuman, barulah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. 

Seperti yang disebut dalam satu Hadis yang bermaksud, “Barangsiapa yang bersaksi Laa ilaha ilallah, dengan benar pasti dia akan masuk syurga” [2]. 

Berkemungkinan seseorang itu jahat tetapi dia masih mempunyai iman. Walaupun dia malas solat dan puasa. Setelah dia meninggal, kalau tiada keampunan-Nya, dia akan dimasukkan seketika ke dalam neraka. Setelah tempoh hukuman selesai, barulah akan dimasukkan ke dalam syurga. Ada yang menganggap hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja, sudah dijamin masuk syurga, ternyata bukan semudah itu. 

Ibarat orang yang masuk penjara selama bertahun-tahun atau seminggu, kemudian barulah dibebaskan. 

Dahulu ada kes di Barat di mana mangsa telah dirogol dan dibunuh. Akibatnya pesalah yang berumur lingkungan 20+- tahun dihukum penjara seumur hidup. Ibu mangsa yang menjadi saksi di mahkamah menyebabkan pesalah dimasukkan ke dalam penjara. Setelah keluar penjara, pesalah itu masih hidup dan mencari ibu mangsa pula untuk dibunuhnya. 

Oleh sebab itu, indahnya Islam yang mengajar supaya pembunuh itu dihukum bunuh. Kalau dihukum bunuh, masalah akan selesai. Kalau dipenjara, dia akan melakukan kejahatan semula setelah keluar. Inilah masalah undang-undang dunia. Dengan hukuman bunuh, keluarga mangsa juga akan berpuas hati dan tidak berdendam. 

Syafaat boleh diberikan oleh Nabi-nabi dan orang-orang soleh. Para hafiz al-Quran juga boleh memberi syafaat kepada ibu dan bapa mereka. Ada yang boleh membantu dengan memberi syafaat kepada sepuluh orang malah Nabi pula tiada hadnya, boleh memberi syafaat kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. 

Walaupun ada khilaf, seperti pendapat dalam mazhab Muktazilah kalau tidak silap, bahawa makhluk tidak boleh memberi syafaat sebab syafaat adalah hak Allah. Tetapi mengikut mazhab Sunnah Wal Jamaah, ada orang-orang tertentu yang boleh memberi syafaat yang disebutkan dengan jelas dalam beberapa Hadis. 

Tuduhan bahawa Allah mempunyai anak

لَّا يَمْلِكُونَ ٱلشَّفَـٰعَةَ إِلَّا مَنِ ٱتَّخَذَ عِندَ ٱلرَّحْمَـٰنِ عَهْدًا

“Mereka tidak berhak mendapat syafaat, kecuali orang yang telah mengadakan perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah. (87)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang kafir mendakwa Allah mempunyai anak. 

i) Orang Yahudi berpendapat bahawa anak Allah ialah Nabi Uzair (Nabi dalam kalangan orang Yahudi atau Bani Israel).

Kisah mengenainya diceritakan dalam surah al-Baqarah [3]. Seorang lelaki yang berjalan dan berhenti di suatu kampung yang telah lama ditinggalkan. Baginda mempercayai bahawa adanya hari akhirat dan akan hidup semula cuma berfikir bagaimana Allah hendak menghidupkan kembali orang yang telah meninggal dunia dan hancur sehingga tinggal tulang belulang sahaja. 

Lalu, Allah mematikannya selama seratus tahun, kemudian Dia menghidupkannya semula. Baginda mengira cuma tidur seharian. Allah memintanya agar melihat keldainya. Setelah melihat keadaan keldainya yang sudah reput dan tinggal tulang sahaja, makanan keldainya juga hancur, dia pun terkejut. 

Allah memberitahunya keadaan yang sebenar untuk menunjukkan kuasa-Nya. Dengan takdir-Nya, keldainya juga kembali hidup dan makanan keldainya juga kembali ada. Setelah Baginda kembali ke kampungnya, tiada seorang pun yang mengenalinya. Cuma ada seorang pak cik tua yang masih ingat kisah lelaki yang keluar dari kampung dan ghaib entah ke mana. Rupa-rupanya, Bagindalah orangnya. Oleh sebab itu, Uzair dianggap sebagai anak Allah oleh orang Yahudi kerana Baginda dapat kembali setelah hilang seratus tahun. 

ii) Orang Kristian menganggap Nabi Isa sebagai anak Allah.

Sebab Nabi Isa tiada ayah. Tiba-tiba sahaja Maryam mengandung dan melahirkannya. 

iii) Orang Musyrikin menganggap Allah mempunyai anak perempuan iaitu malaikat.

Bagi mereka, anak perempuan ini sangat hina. Jadi bagi mereka, Allah ada anak perempuan. Kebetulan, di hujung ejaan malaikat dalam bahasa Arab ada Tha Marbuthah:

وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَلَدًا

“Dan mereka berkata: “Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak.” (88)

Dakwaan mereka itu merupakan suatu kesalahan yang besar. Dalam Islam, seperti yang disebut dalam surah al-Ikhlas yang bermaksud, Tuhan tidak beranak dan Dia tidak diperanakkan.” Menurut ulamak, surah ini menjawab pegangan orang Yahudi, Kristian dan Musyrikin Makkah. Surah al-Ikhlas dianggap sebagai tauhid secara teori manakala surah al-Kafirun secara praktikal. 

Nabi berkata, membaca surah al-Ikhlas adalah sama dengan membaca satu pertiga al-Quran. Isi dalam Al-Quran terbahagi kepada tiga iaitu penceritaan mengenai Tuhan, Nabi dan akhirat. Kita juga dituntut supaya membaca surah 3 Qul iaitu surah an-Nas, al-Falaq dan al-Ikhlas pada setiap pagi dan petang. Ia menjadi pendinding atau pagar yang paling utama. 

Ketika Nabi disihir dan mengalami kesakitan, dua malaikat diutus untuk berada di hujung kepala dan kakinya. Kedua-dua malaikat tersebut berbicara sesama sendiri mengenai bagaimana Nabi disihir. Nabi mendengar perbualan mereka dan menyuruh Sayyidina Ali pergi mengambil barang sihir di dalam sebuah telaga buruk. Sihir tersebut dilakukan oleh seorang Yahudi lelaki yang bernama Labid bin Aksam [4]. (ada pendapat yang menyebut seorang wanita yang melakukannya) 

Setelah itu, Nabi kembali sembuh. Walaupun ada khilaf yang menyatakan bahawa Nabi seorang yang maksum, jadi mustahil untuk Baginda disihir. 

Malaikat mengajar Nabi untuk membaca setiap surah 3 Qul sebanyak tiga kali. Tiupkan pada tapak tangan dan sapunya pada bahagian yang sakit. Boleh membacanya pada setiap pagi dan petang dan juga sebelum tidur. Inilah kelebihan sunnah Rasulullah S.A.W yang perlu untuk kita sentiasa mengamalkannya:

لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْـًٔا إِدًّا

“Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar.” (89)

تَكَادُ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ ٱلْأَرْضُ وَتَخِرُّ ٱلْجِبَالُ هَدًّا

“Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu dan bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh.” (90)

Betapa beratnya tuduhan mereka itu:

أَن دَعَوْا۟ لِلرَّحْمَـٰنِ وَلَدًا

“Kerana mereka mendakwakan Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak.” (91)

Pembohongan mereka amat pelik dan berat sungguh. Jadi, kita mesti beringat bahawa agama Islam ialah agama tauhid yang meletakkan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa:

وَمَا يَنۢبَغِى لِلرَّحْمَـٰنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا

“Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak.” (92)

Tidak munasabah kalau Allah mempunyai anak. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 11 September 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 15/9/2023

Rujukan:

[1] Sebahagian daripada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (3403).
[2] Hadis riwayat Imam Ahmad (19612)
[3] Ayat ke-259, Surah Al-Baqarah.
[4] Hadis sahih riwayat Imam Bukhari (3268) dan Muslim (2189).