Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (3)

Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (3)

DIALOG Nabi Musa dengan Allah S.W.T

Advertisement

اِذْهَبْ اِلٰى فِرْعَوْنَ اِنَّهٗ طَغٰى

“Pergilah kepada Firaun; sesungguhnya dia telah melampaui batas.” (24)”

Firaun melawan Allah S.W.T sehingga mengaku dirinya sebagai Tuhan dan memaksa penduduk Mesir supaya mengiktirafnya sebagai Tuhan. Nabi Musa diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk pulang ke Mesir berdepan dengan Firaun setelah sepuluh tahun lebih berada di Madyan. Sebab Firaun telah melampaui batas iaitu memperhambakan Bani Israel dan mengaku dirinya sebagai Tuhan:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِي

“Musa berdoa: “Ya Tuhanku! Lapangkanlah untukku dadaku. (25)”

Berikutan perintah Allah tersebut, Nabi Musa pun berdoa dengan ayat ini. Sebab Baginda secara berseorangan bersama-sama dengan isterinya terpaksa berdepan dengan kuasa besar dan belum lagi mengetahui sejauh mana penerimaan keluarga mereka terhadap perkara tersebut. Baginda berdoa agar dadanya dilapangkan supaya jiwanya terbuka luas dan tidak tertekan dengan tugas dan tanggungjawab:

وَيَسِّرْ لِيْٓ اَمْرِي

“Dan mudahkanlah untukku urusanku. (26)”

Keduanya diminta agar urusannya dipermudahkan:

وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّنْ لِّسَانِي

“Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku. (27)”

يَفْقَهُوْا قَوْلِي

“Supaya mereka mengerti perkataanku. (28)”

Ketiganya diminta agar dilepaskan simpulan pada lidah yang bermaksud petah dan lancar dalam percakapan supaya orang mudah mendengar, memahami dan menerima:

وَاجْعَلْ لِّيْ وَزِيْرًا مِّنْ اَهْلِي

“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada keluargaku. (29)”

هٰرُوْنَ اَخِى

“(Iaitu) Harun, saudaraku. (30)”

Keempatnya diminta agar Nabi Harun dijadikan ibarat orang kanan yang boleh membantunya dalam menjalankan tugas sebagai Nabi. Nabi Harun ialah adik kepada Nabi Musa. Harun dilahirkan pada tahun di mana bayi-bayi dibenarkan untuk lahir.

Pada peringkat awal, Firaun mengeluarkan perintah supaya membunuh mana-mana anak lelaki yang dilahirkan. Sebab dia terkejut dengan mimpinya pada satu malam. Dalam mimpi itu, api besar keluar yang menghanguskan seluruh kawasan kampung Bani Israel.

Dia memanggil tukang tenun atau ahli sihir untuk menanyakan mimpi tersebut. Ahli sihir memberitahunya bahawa ada bala besar yang akan menimpa. Ada orang yang akan menentangnya dan menjatuhkan kerajaannya. Lalu, dia membuat keputusan bahawa tiada mana-mana anak lelaki yang dibenarkan untuk hidup.

Hal ini berlaku pada beberapa tahun sehingga menjejaskan keperluan pekerja. Sebab pada ketika itu, yang menjadi kuli atau buruh adalah dalam kalangan Bani Israel. Perkara ini diadukan oleh pegawainya. Lalu, dia menukar dasar kepada selang setahun. Yang lahir pada tahun ini dilepaskan manakala yang lahir pada tahun berikutnya akan dibunuh dan begitulah seterusnya.

Kebetulan, Nabi Musa dilahirkan pada tahun yang dilarang mana-mana anak lelaki untuk lahir. Apabila askar Firaun mencarinya di rumah, ibunya meletakkannya di dalam pembakar roti. Askar yang gagal menemukannya berasa tidak berpuas hati lalu membuka pembakar itu. Dilihat api yang sedang menyala. Ibunya terkejut dan bimbang akan keadaan anaknya. Namun, itu antara mukjizat dan Baginda terselamat.

Akibat peristiwa itu, ibunya menghanyutkannya ke sungai. Akhirnya, Baginda dijumpai oleh isteri Firaun yang bernama Asiyah. Peti kecil yang membawa Baginda hanyut dan tersangkut di tempat Asiyah bersiram. Oleh sebab itu, Baginda diberi nama Musa atau dalam bahasa Yahudi disebut sebagai Moshe yang bermaksud budak di tepi air.

Nabi Harun dilahirkan pada tahun kemudian. Baginda boleh hidup dan selamat. Jadi, Nabi Musa sempat mengenali adiknya Harun kerana mengetahui akan asal-usul keturunannya. Oleh sebab itu, Baginda meminta agar Nabi Harun dilantik menjadi orang kanannya. Dari situlah Harun dilantik oleh Allah menjadi seorang Nabi. Jadi, dua orang Nabi pada satu masa dilantik dalam kalangan adik-beradik:

اشْدُدْ بِهٖٓ اَزْرِي

“Teguhkanlah pendirianku dengan sokongannya. (31)”

Tujuan Nabi Harun diminta untuk dilantik adalah supaya Nabi Musa berasa lebih gagah:

وَاَشْرِكْهُ فِيْٓ اَمْرِي

“Dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku. (32)”

كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيْرًا

“Supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau. (33)”

وَّنَذْكُرَكَ كَثِيْرًا

“Dan banyak mengingati Engkau. (34)”

اِنَّكَ كُنْتَ بِنَا بَصِيْرًا

“Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui (keadaan) kami.” (35)”

Dijelaskan mengenai sebab-sebab Nabi Musa ingin Nabi Harun dilantik. Ini semua adalah dialog antara Baginda dengan Allah. Baginda digelar sebagai Kalimullah iaitu orang yang boleh bercakap secara langsung dengan-Nya. Nabi-nabi lain menerima wahyu melalui perantara malaikat Jibril.

Antara doa yang dibaca oleh Nabi Musa ketika dalam perjalanan pulang ke Mesir ialah “Robbi najjini minal qaumiz zolimin” yang bermaksud “Wahai Tuhan, selamatkanlah aku daripada orang-orang yang zalim”. Doa lain juga seperti yang dinyatakan dalam ayat ke 25 sehingga 28. Doa ini selalu diamalkan ketika belajar, berceramah, menjadi guru atau ustaz supaya mudah dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Percakapan Nabi dan Rasul amat mudah difahami sebenarnya cuma kalau ada yang menolaknya, itu nombor dua. Hadis-hadis Nabi S.A.W disebut secara ringkas tetapi boleh dihuraikan sehingga menjadi satu kitab. Sebab tinggi makna kandungannya dan bahasanya juga amat mudah.

Berkat doa, percakapan lancar

قَالَ قَدْ اُوْتِيْتَ سُؤْلَكَ يٰمُوْسٰى

“Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu, wahai Musa!” (36)”

Dalam satu riwayat ada menyebut sebab mengapa Nabi Musa berdoa dengan doa seperti dalam ayat ke 25 hingga 28. Masalah yang dihadapi oleh Baginda ialah masalah percakapan. Semasa kecil, Baginda mengangkat kerusi yang diduduk oleh Firaun. Firaun terkejut dengan tindakan itu yang amat luar biasa.

Dia berhasrat untuk membunuh Nabi Musa namun ditegah oleh isterinya. Untuk menguji Nabi Musa, dua benda diletakkan di hadapannya iaitu bara api dan susu. Yang mana satu akan dipilihnya. Baginda bergerak ke arah bara api dan memasukkan sedikit ke dalam mulutnya tetapi sempat dibuang.

Jadi, terkesan pada lidahnya kerana bara api tersebut menyebabkan percakapannya kurang jelas. Namun berkat doanya, akhirnya percakapannya menjadi lancar.

Kebenaran janji Allah S.W.T

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ مَرَّةً اُخْرٰى

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi nikmat kepadamu pada kesempatan yang lain. (37)”

Allah memberikan segalanya menurut apa yang Baginda minta. Bahkan sebelum ini pun, Baginda boleh hidup, selamat, dibesarkan di dalam istana Firaun dan dijadikan sebagai anak angkat Firaun. Itulah kurniaan nikmat yang begitu besar yang diberikan kepadanya:

اِذْ اَوْحَيْنَآ اِلٰٓى اُمِّكَ مَا يُوْحٰى

“Iaitu ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu sesuatu yang diilhamkan. (38)”

اَنِ اقْذِفِيْهِ فِى التَّابُوْتِ فَاقْذِفِيْهِ فِى الْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِّيْ وَعَدُوٌّ لَّهٗ ۗوَاَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّيْ ەۚ وَلِتُصْنَعَ عَلٰى عَيْنِي

“Iaitu: “Letakkanlah dia (Musa) di dalam peti, kemudian hanyutkanlah dia ke sungai (Nil), maka pasti sungai itu membawanya ke tepi, supaya diambil oleh (Firaun) musuhKu dan musuhnya.” Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripadaKu, dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu. (39)”

Asiyah berasa gembira kerana telah memperoleh anak lelaki dan membawa Nabi Musa pulang ke istana. Firaun menyuruhnya agar membuang anak itu namun dia merayu supaya tetap dipelihara. Firaun yang termakan dengan pujuk rayu isterinya bersetuju untuk memelihara dan membesarkan Nabi Musa di dalam istana.

Pada awalnya, Nabi Musa menangis tidak henti-henti kerana lapar susu. Seharian dipujuk untuk minum susu namun ditolaknya. Hal ini diketahui oleh kakaknya yang mengikuti ke mana sahaja perahu adiknya hanyut sehinggalah ditemui oleh Asiyah dan tinggal di dalam istana.

Kakaknya cuba mendekati orang istana dan pura-pura bertanya akan masalah yang berlaku. Kakaknya yang cerdik itu memberitahu bahawa dia mengenali seorang wanita yang pandai mengasuh kanak-kanak. Wanita itu ialah ibu Nabi Musa sendiri tetapi tidak diketahui oleh orang istana.

Ibu Nabi Musa datang ke istana. Seorang anak ada pertalian dengan ibunya. Sebab anak dikandung oleh ibunya. Jadi, hubungan batin antara anak dengan ibu amat rapat. Oleh sebab itu, kadang-kadang bayi yang menangis boleh berubah menjadi diam apabila dipegang oleh ibunya. Walaupun mata bayi itu masih terpejam sebab adanya sentuhan.

Asiyah menanyakan sama ada wanita itu boleh mengasuh Nabi Musa atau tidak. Setelah bersetuju, mereka sama-sama boleh tinggal di dalam istana. Sebab Allah telah berjanji kepada ibu Nabi Musa bahawa setelah disuruh untuk menghanyutkan, anaknya pasti akan dikembalikan semula kepadanya. Kisah yang diceritakan ini ditujukan kepada Nabi Musa sebab Baginda ketika masih kecil tidak mengerti apa yang terjadi.

Nikmat yang perlu disyukuri

اِذْ تَمْشِيْٓ اُخْتُكَ فَتَقُوْلُ هَلْ اَدُلُّكُمْ عَلٰى مَنْ يَّكْفُلُهٗ ۗفَرَجَعْنٰكَ اِلٰٓى اُمِّكَ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ ەۗ وَقَتَلْتَ نَفْسًا فَنَجَّيْنٰكَ مِنَ الْغَمِّ وَفَتَنّٰكَ فُتُوْنًا ەۗ فَلَبِثْتَ سِنِيْنَ فِيْٓ اَهْلِ مَدْيَنَ ەۙ ثُمَّ جِئْتَ عَلٰى قَدَرٍ يّٰمُوْسٰى

“Iaitu ketika saudara perempuanmu berjalan (kerana mencarimu), lalu dia bertanya kepada (keluarga Firaun): “Mahukah saya tunjukkan kamu kepada orang yang akan memeliharanya?” Maka Kami mengembalikanmu kepada ibumu, agar senang hatinya dan tidak berdukacita. Dan ketika kamu membunuh seorang manusia, lalu Kami selamatkan kamu daripada kesusahan dan Kami telah mencubamu dengan beberapa cubaan, maka kamu tinggal beberapa tahun di antara penduduk Madyan, kemudian kamu datang menurut waktu yang ditetapkan, wahai Musa. (40)”

Allah telah mengurniakan nikmat-nikmat yang banyak tetapi tidak disedari selama ini. Kadang-kadang, kita tidak nampak apa yang telah Allah berikan. Kita hanya nampak kenapa hidup kita susah. Kita tidak berterima kasih kepada-Nya dan asyik merungut.

Begitu juga antara kita sesama manusia. Kita tidak nampak segala kebaikan yang orang lakukan selama ini. Kalau ada tersilap sedikit sahaja, kita suka membesar-besarkan hal tersebut. Oleh itu, kita mestilah banyak mengingati nikmat-nikmat yang telah diberikan antaranya ialah nikmat hidup.

Boleh hidup bernyawa adalah suatu nikmat yang paling besar. Walaupun mungkin ada yang tidak sempurna seperti rabun dan kecacatan yang lain. Ramai mana yang tidak hidup seperti mati dalam kandungan, akibat keguguran dan mati selepas dilahirkan.

Nikmat hidup ini besar kerana ibu dan ayah tidak boleh memberikan nikmat hidup kepada kita. Berusahalah setara mana pun, kalau Allah tidak memberikannya, maka tiadalah kita. Kita boleh lahir sebagai manusia sebab Allah yang menghendakinya.

Sebab ada yang berkahwin selama dua puluh tahun tetapi tidak memperoleh anak. Ada yang diberikan hidup selama enam puluh tahun. Walaupun sudah tua, tidak ke masjid dan berlaga ayam contohnya tetapi Allah masih mengizinkan kita untuk hidup dengan baik.

Salah seorang ahli sufi yang terkenal di Iraq bernama Rabiatul Adawiyah. Pada suatu hari, Rabiatul berjalan dan menemui seseorang di mana kepalanya berbalut dengan kain yang sangat besar. Dia mengalami sakit kepala. Dia sudah hidup selama lebih kurang enam puluh tahun dan itulah kali pertama dia jatuh sakit.

Rabiatul menegurnya sebab baru sekali Allah mengujinya dengan kesakitan tetapi dia sudah pun menghebohkannya kepada orang. Kesihatan yang baik sebelum ini dia rahsiakan pula. Dia tidak berterima kasih kepada Allah dengan nikmat sihat sebelum ini.

Oleh itu, kita mestilah berusaha melatih diri kita supaya bersyukur. Tidak mencukupi dengan sekadar mengucap Alhamdulillah tetapi dengan tindakan kita. Misalnya, kalau ada lebihan duit, kita bersedekah. Bukannya semakin ada duit semakin kedekut, tubuh sihat tetapi tidak beribadah dan tidak membantu orang yang susah:

وَاصْطَنَعْتُكَ لِنَفْسِي

“Dan Aku telah memilihmu untuk diriKu. (41)”

اِذْهَبْ اَنْتَ وَاَخُوْكَ بِاٰيٰتِيْ وَلَا تَنِيَا فِيْ ذِكْرِي

“Pergilah kamu beserta saudaramu dengan membawa ayat-ayatKu dan janganlah kamu berdua lalai dalam mengingatiKu. (42)”

Ada sembilan mukjizat besar yang Allah kurniakan kepada Nabi Musa. 

Dakwah ada seninya

اِذْهَبَآ اِلٰى فِرْعَوْنَ اِنَّهٗ طَغٰى

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. (43)”

فَقُوْلَا لَهٗ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهٗ يَتَذَكَّرُ اَوْ يَخْشٰى

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (44)”

Dalam berdakwah, gunalah bahasa yang baik dan bukan perkataan yang kasar. Firaun adalah orang yang jahat namun Allah meminta supaya Nabi Musa dan Nabi Harun bercakap dengannya secara baik. Semoga dia terbuka hati dan menerima peringatan.

Inilah kaedah dakwah yang harus bermula dengan lembut, merayu dan memujuk. Kata ulamak, kalau berjumpa dengan orang yang jahil dan lapar, berilah makanan terlebih dahulu sebelum mengajarkan agama kepadanya.

Ada orang yang lapar sebab sudah dua hari tidak makan nasi tetapi kita bersungguh nak mengajar dia cara mengambil wuduk. Kata ulamak, berilah makan terlebih dahulu kemudian setelah dia kenyang dan jinak, barulah kita bercakap mengenai agama.

Kadang-kadang, kita tidak mengambil kira akan hal tersebut dan berdakwah ikut suka hati. Orang yang didakwah pun tidak kita kenal. Tidak kena kalau kita berdakwah kepada orang yang lebih alim daripada kita. Tidak kena juga kalau kita mengajak orang untuk mengerjakan solat walhal dia memang sudah pun solat:

قَالَا رَبَّنَآ اِنَّنَا نَخَافُ اَنْ يَّفْرُطَ عَلَيْنَآ اَوْ اَنْ يَّطْغٰى

“Mereka berdua pun berkata: “Ya Tuhan kami! Sesungguhnya kami khuatir kalau dia segera menyeksa kami atau akan bertambah melampaui batas.(45)”

Nabi Musa dan Nabi Harun berasa bimbang sebab Firaun terkenal dengan sifatnya yang ganas dan samseng:

قَالَ لَا تَخَافَآ اِنَّنِيْ مَعَكُمَآ اَسْمَعُ وَاَرٰى

“Allah berfirman: “Janganlah kamu berdua khuatir, sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, Aku mendengar dan melihat.” (46)”

Allah menjawab kepada mereka supaya jangan berasa takut. Walaupun secara zahirnya kita tiada apa-apa tetapi sebenarnya Allah bersama kita. Apatah lagi, orang yang memperjuangkan agama.

Isu semasa: Peperangan di Palestin

Di Palestin, HAMAS dan pejuang Jihad Islami kini berani menyerang puak Yahudi. Sudah lama rakyat Palestin bertahan dan akhirnya kali ini berlaku peperangan yang cukup dahsyat.

Walaupun ada yang berusaha untuk pergi ke sana seperti Taliban. Mereka meminta kebenaran untuk menggunakan ruang udara memasuki Palestin namun dihalang oleh Jordan.

Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan berdoa dan solat hajat. Sama-samalah kita berdoa agar Israel dihancurkan. Selepas solat, biasakan diri untuk berdoa kepada umat Islam di sana. Kalau kita berkemampuan dari segi kewangan, bolehlah menderma kepada tabung-tabung yang boleh dipercayai seperti Cakna Palestin.

Sudah terlalu lama mereka menzalimi rakyat Islam di Palestin. Walaupun ada juga orang Kristian di Palestin tetapi sekarang mereka telah melarikan diri. Rakyat yang ramai terpaksa tinggal di kawasan yang sempit. Mereka mengganggu orang yang mengerjakan solat di Masjidil Aqsa dan Masjid Ibrahim.

Semoga Allah membantu saudara-saudara kita agar mereka selamat. Kita berharap agar Peperangan Dunia Ketiga tidak berlaku kerana kalau tidak, kita sudah pun semakin hampir dengan kiamat. Seperti tanda-tanda besar kiamat yang disebut oleh Nabi S.A.W.

Hebatnya HAMAS dan Jihad Islami adalah kerana mereka pandai mencipta senjata sendiri. Sebab ramai dalam kalangan mereka berkelulusan ‘engineer’. Mereka belajar di luar negara dan mencipta sendiri alatan untuk peperangan. Misalnya, mereka menggunakan ‘paraglyder’ untuk memasuki kawasan Israel melalui udara. Kita berharap agar diberikan kemenangan kepada Islam.

Itulah keyakinan mereka dengan janji Allah S.W.T. Kita tidak bersendirian. Apabila berdepan dengan musuh Islam, Insya-Allah, Allah akan bersama kita. Cuma masa belum sampai. Sebelum ini, golongan kebangsaan atau sekular yang menentang puak Yahudi seperti Gerakan Fatah dan juga pemimpin seperti Yaser Arafat langsung tidak digeruni. Kini, HAMAS dan Jihad Islami bangkit berjuang atas dasar Islam.

Kita perlu memahami perbezaan antara orang dan dasar perjuangan. Walaupun orang itu Islam tetapi dasar perjuangannya tidak betul, jadi kita tidak boleh menyokongnya. Sebab dengan agama sahaja, kita boleh berdepan dengan musuh Allah S.W.T. Terbukti di Palestin, HAMAS dan Jihad Islami amat digeruni. Satu lagi puak yang digeruni ialah Hizbullah, walaupun dia Syiah tetapi menentang Yahudi.

Kita perlu mengikuti perkembangan peristiwa ini supaya kita lebih dekat dengan saudara-saudara kita di sana. Sebab ada yang tidak peduli pun. Sedangkan Nabi S.A.W ada menyebut dalam satu Hadis yang sahih, pada suatu masa, Yahudi akan diperangi oleh orang-orang yang berada di sekitar Palestin.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 9 Oktober 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 13/10/2023

Scroll to Top