am@hmetro.com.my
Alor Setar: Polis Kedah mengesahkan surat jemputan bagi menghadiri Majlis Perasmian Bilik Mesyuarat dan Community Policing Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah 2025 seperti yang dihantar kepada beberapa individu adalah palsu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, surat jemputan itu didakwa meminta sumbangan bagi menjayakan majlis yang kononnya akan berlangsung pada 1 tengah hari esok di Dewan Serbaguna IPK Kedah.
“Dalam surat turut dinyatakan Superintendan Malik Abd Khan sebagai Paniata yang akan menguruskan majlis berkenaan bersama nombor telefon untuk dihubungi, selain tetamu jemputan yang menyumbang RM1,000 ke atas akan diberi surat penghargaan oleh Ketua Polis Kedah sendiri.
“Polis Kedah menegaskan surat ini adalah palsu dan dipercayai cubaan untuk melakukan penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dan sentiasa membuat semakan dengan pihak polis atau balai berdekatan sebelum melakukan sebarang transaksi yang mencurigakan kepada mana-mana pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd