Surat kepada PM membuahkan hasil, Nurul Amani dan ibu terima lesen B2 percuma

Surat kepada PM membuahkan hasil, Nurul Amani dan ibu terima lesen B2 percuma

am@hmetro.com.my

Butterworth: Usaha seorang pelajar menulis dan menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan lesen percuma, baru-baru ini membuahkan hasil.

Hari ini, Nurul Amani Zabani, 17, dan ibunya Asma Aziz, 51, memperoleh lesen berkenaan menerusi program MyLesen B2 yang diserahkan sendiri Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Anak tunggal itu berkata, dia menyerahkan sepucuk surat kepada Anwar dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke Pulau Pinang, baru-baru ini dan menyatakan hasrat ingin menyertai program MyLesen B2 kerana tidak berkemampuan.

“Keluarga saya susah, ayah saya sudah tidak ada dan hanya tinggal berdua dengan ibu.

“Apabila ada lesen motosikal saya tidak rasa takut lagi dan bebas untuk ke mana-mana kerana patuh kepada undang-undang.

“Terima kasih kerana meringankan beban keluarga saya. Saya juga bersyukur kerana dapat buat lesen ini bersama-sama dengan ibu saya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Asma berkata, suaminya meninggal dunia akibat penyakit kencing manis sejak enam tahun lalu.

“Saya membesarkan Nurul Amani dengan mengharapkan pendapatan dari menjadi tukang cuci.

“Apabila kami berdua dapat lesen ini sama-sama kami sangat bersyukur dan terharu,” katanya.

Seramai 993 penerima memperoleh lesen menerusi program itu, yang mana terbabit, 95 peratus adalah pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta golongan belia di Pulau Pinang.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, secara keseluruhannya seramai 15,000 individu menerima lesen percuma menerusi program berkenaan membabitkan peruntukan RM5.81 juta.

“Program ini bertujuan memberikan nilai tambah kepada golongan sasar melalui pemilikan lesen memandu B2 sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top