Surau Al-Amirin terima RM75,000 wakalah zakat

Surau Al-Amirin terima RM75,000 wakalah zakat

SAMBUTAN Nuzul Al-Quran pada kali ini cukup bermakna buat jemaah Surau Al-Amirin, Bandar Baru Bangi apabila mereka menerima RM75,000 wakalah zakat untuk kegunaan surau dan Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin kendaliannya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000 disalurkan kepada Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin dan baki RM25,000 lagi diserahkan kepada Surau Al-Amirin.

Penyerahan replika cek berkenaan diserahkan sendiri Pengerusi Surau Al-Amirin, Datuk Abdul Rashid Mohd Ghani disaksikan Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Haji Rosli Othman dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hasim.

Terdahulu, sempena sambutan Nuzul al-Quran, Surau al-Amirin menganjurkan program Ambil Peduli dan Pengagihan Bubur Lambuk kepada kira-kira 500 orang sebagai sebahagian inisiatif memperkukuh semangat perpaduan, kesukarelawan dan kebajikan dalam kalangan masyarakat setempat.

Abdul Rasyid berkata, sebanyak 500 pek bubur lambuk disediakan secara bergotong-royong oleh jawatankuasa surau bersama ahli kariah sebelum diagihkan kepada masyarakat setempat, golongan asnaf dan penduduk sekitar.

ROSLI (hadapan dua dari kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian penerima sumbangan pada majlis tersebut.

ROSLI (hadapan dua dari kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian penerima sumbangan pada majlis tersebut.

“Inisiatif ini bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin setempat dan masyarakat.

“Selain itu, sumbangan berupa barangan dapur dan duit raya turut diagihkan kepada 25 penerima yang layak tanda keprihatinan dan sokongan pihak surau jepada golongan yang memerlukan ini,” katanya.

Sementara itu, Rosli dalam ucapannya menghargai komitmen ahli jawatankuasa Surau Al-Amirin serta ahli kariah yang berganding bahu menjayakan program kebajikan seperti ini.

ROSLI (dua dari kanan) menyerahkan bubur lambuk dan duit raya kepada salah seorang penerima.

ROSLI (dua dari kanan) menyerahkan bubur lambuk dan duit raya kepada salah seorang penerima.

“Program seumpama ini mencerminkan kekuatan semangat gotong-royong dan kebersamaan yang menjadi teras kepada keharmonian masyarakat di daerah ini.

“Dari tangan yang memberi, lahirlah senyuman yang diberkati. Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah bulan untuk memperkukuh silaturahim dan menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi agar manfaatnya dirasai lebih ramai dalam kalangan masyarakat khususnya di daerah Hulu Langat.

ROSLI turut dibawa meninjau kemudahan Surau Al-Amirin dan Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin pada majlis berkenaan.

ROSLI turut dibawa meninjau kemudahan Surau Al-Amirin dan Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin pada majlis berkenaan.

Bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran juga, Surau Al-Amirin turut menganjurkan ceramah khas bertajuk Amalan dan penghayatan al-Quran yang disampaikan pendakwah terkenal, Profesor Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah sebelum majlis berbuka puasa bersama-sama.

Dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadan, pelbagai program disusun ahli jawatankuasa Surau Al-Amirin termasuk iftar bersama, sambutan Nuzul al-Quran, qiamullail, agihan bubur lambuk dan Pasar Rahmah Madani.

Ringkasan AI

  • Sambutan Nuzul Al-Quran di Surau Al-Amirin, Bandar Baru Bangi diisi dengan penerimaan RM75,000 zakat untuk surau dan Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin
  • Sebanyak RM50,000 diberikan kepada Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin dan RM25,000 kepada Surau Al-Amirin
  • Acara juga termasuk pengagihan bubur lambuk kepada 500 orang untuk merapatkan hubungan silaturahim
  • Sumbangan barangan dapur dan duit raya diagihkan kepada 25 penerima yang layak
  • Pelbagai program diadakan untuk menghidupkan bulan Ramadan termasuk ceramah Amalan dan penghayatan al-Quran, iftar bersama, qiamullail, dan Pasar Rahmah Madani
Scroll to Top