hafizithnin@medaiprima.com.my
Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia, pepatah yang tidak asing dalam masyarakat menjelaskan mengenai kuasa kelembutan seorang wanita yang mampu membangunkan negara.
Pepatah itu begitu luas untuk diertikan termasuk kuasa seorang wanita yang bergelar suri rumah yang sebenarnya mempunyai kekuatan luar biasa dalam mengurus rumah tangga untuk melahirkan modal insan negara.
Ikuti temubual Wartawan Metro Ahad, HAFIZ ITHNIN bersama Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), DATUK AZMAN MOHD YUSOF untuk membincangkan isu ini dari pelbagai perspektif.
Sejauh mana kerajaan mengiktiraf golongan suri rumah di Malaysia?
Kerajaan mengiktiraf peranan suri rumah sebagai penyumbang kepada institusi keluarga dan pembangunan masyarakat walaupun mereka tidak dikategorikan dalam sektor pekerjaan formal.
Perkara ini jelas dilihat daripada beberapa dasar dan inisiatif kerajaan melalui aspek perundangan dan program-program kementerian yang dirangka untuk memartabatkan golongan suri rumah secara holistik dan inklusif di negara ini.
Melihat kepada perkembangan wanita berkerjaya memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, adakah wajar untuk Malaysia mengiktirafnya sebagai satu kerjaya profesional?>/b>
Pada masa ini, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar penyertaan tenaga buruh bagi golongan wanita adalah 56.3 peratus sehingga suku pertama tahun 2025. Manakala jumlah suri rumah di Malaysia dianggarkan 3.6 juta orang.
KESUMA mengiktiraf bahawa pilihan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa adalah keputusan yang sangat penting, mencerminkan kasih sayang dan pengorbanan demi keluarga.
Peranan suri rumah amat besar dalam menyemai nilai murni, memelihara keharmonian keluarga, dan membentuk asas masyarakat yang lebih baik.
Justeru itu, Kerajaan Madani sentiasa menghargai sumbangan mereka dan komited untuk memastikan wujudnya pelbagai sokongan termasuk melalui Akta Kerja 1955, Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Melalui pelaksanaan program mesra wanita oleh Perkeso, TalentCorp dan HRDCorp, kerajaan berusaha membantu mewujudkan sistem sokongan yang lebih fleksibel dan sesuai dengan keperluan keluarga. Hasratnya adalah supaya wanita di Malaysia mempunyai lebih banyak pilihan dan peluang sama ada bekerja sepenuh masa, secara fleksibel, atau menjadi suri rumah sepenuh masa dengan keyakinan bahawa setiap peranan ini menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan seterusnya memperkukuh asas kemajuan dan daya saing negara.
Malaysia sudah melaksanakan beberapa insentif di Perkeso dan KWSP yang memberi perlindungan kepada suri rumah, adakah Malaysia antara negara ke hadapan dalam kalangan negara Asean yang memberi perlindungan kepada suri rumah?
Ya. Dari aspek keselamatan sosial Malaysia adalah antara negara ke hadapan selain Indonesia, Thailand dan Filipina dalam pelaksanaan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.
Skim ini melindungi Suri Rumah Berinsurans yang mengalami bencana domestik, keilatan dan kematian sehingga mencapai umur 55 tahun serta memberi perlindungan kepada Orang Tanggungan sekiranya berlaku kematian ke atas Suri Rumah Berinsurans sebelum mencapai umur 50 tahun.
Apakah langkah yang boleh dilaksanakan KESUMA bagi memastikan isu ini dapat ditangani dari sudut dasar peluang pekerjaan?
KESUMA melaksanakan pelbagai program khusus bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta memastikan pembangunan mereka, di samping melaksanakan program umum yang turut membabitkan penyertaan wanita secara aktif.
Antaranya melaksanakan inisiatif EmpowerHer Career iaitu satu usaha strategik yang bertujuan meningkatkan semula kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh, khususnya mereka yang berhenti bekerja buat sementara waktu bagi memenuhi tanggungjawab penjagaan keluarga.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada golongan wanita yang berkemahiran dan berpengalaman namun terkeluar daripada pasaran kerja akibat keperluan mengurus rumah tangga, menjaga anak kecil, ibu bapa yang uzur atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan.
Selain itu program potongan cukai untuk majikan juga dilaksanakan iaitu satu inisiatif pengambilan penggajian wanita kembali bekerja, potongan cukai untuk kos pembangunan kapasiti dan perisian bagi melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AFK) dan potongan cukai bagi majikan yang menawarkan sehingga 12 bulan cuti bergaji kepada pekerja yang menjaga anak atau ahli keluarga yang sakit atau kurang upaya.
Kerajaan juga menerusi insentif gaji di bawah TalentCorp kepada majikan yang menggaji wanita yang menganggur selama enam bulan atau lebih. Majikan layak menerima insentif antara RM600 hingga RM1,000 sebulan selama enam bulan, melalui Perkeso, sebagai galakan untuk mengambil semula wanita bekerja.
Apakah penambahbaikan yang mungkin dalam perancangan KESUMA bagi melindungi golongan suri rumah?
Seperti mana yang dimaklumkan, KESUMA melaksanakan pelbagai program dan menambah baik aspek perundangan dalam memastikan golongan ini sentiasa dilindungi dan menyumbang dalam ekonomi negara.
Selain itu, pendekatan KESUMA ditambah dengan pembangunan Dasar Wanita Negara (DWN) di bawah KPWKM akan memantapkan lagi nuansa pemerkasaan wanita melalui strategi pelaksanaan yang realistik, berasaskan data jantina yang tepat, dan pengukuhan sistem pemantauan agar impak dasar dapat diukur dengan jelas.
Kenaikan had umur ini adalah untuk memastikan penyeragaman had umur di bawah SKSSR dengan umur persaraan minimum, penyeragaman had umur di bawah SKSSR dengan umur persaraan minimum, pendedahan kepada risiko kesihatan dan kemalangan akibat peningkatan usia, pembabitan wanita dalam care economy selepas mereka mencapai umur lima puluh lima tahun boleh menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko bencana domestik dan meringankan bebanan kos penjagaan kesihatan sekiranya wanita yang telah mencapai usia 55 tahun mengalami bencana domestik atau keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Adakah KESUMA melihat suri rumah juga adalah dalam kalangan kumpulan rentan dalam sektor pekerjaan di Malaysia?
KESUMA sentiasa menghargai suri rumah sebagai tulang belakang keluarga dan tunjang kesejahteraan masyarakat. Mereka memainkan peranan penting dalam menyemai kasih sayang dan memelihara keharmonian rumah tangga selain membantu membentuk nilai murni dalam keluarga yang menjadi asas kukuh bagi kemajuan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd