SHAH ALAM: Pelakon, Wanna Ali berpendapat bukan sesuatu yang mudah bagi wanita masa kini untuk mendapatkan lelaki yang benar-benar bertanggungjawab dan sanggup menyara keluarga.
Wanna atau Nor Syazwana Mohd. Ali, 29, berkata, tanggungjawab menyediakan keperluan keluarga sememangnya terletak di bahu lelaki seperti yang telah digariskan dalam ajaran Islam.
“Memang susah nak cari lelaki ‘provider’ yang boleh menyara pasangan. Saya rasa lelaki yang benar-benar baik pada zaman sekarang ini seperti sudah pupus. Semoga berjaya kepada wanita di luar sana kerana hakikatnya memang tidak mudah.
“Apabila topik lelaki ‘provider’ dibincangkan, ada yang memberi reaksi seperti ‘apa awak boleh beri kepada saya?’. Sedangkan dalam agama kita sudah jelas bahawa lelaki bertanggungjawab menyediakan nafkah.
“Dalam masa sama, wanita juga perlu menjadi isteri yang taat dan setia kepada suami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Konsert Gegar Vaganza minggu kesepuluh, di sini, baru-baru ini.
Menurut pelakon drama Angkara Cinta itu, tidak menjadi kesalahan bagi seorang wanita untuk menetapkan standard tertentu dalam memilih pasangan, lebih-lebih lagi jika dia sudah berusaha menjaga diri dan keluarga sebelum berkahwin.
“Saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang buruk apabila seorang wanita yang sudah berdikari dan menyara diri mahukan seorang lelaki yang mampu menyara dirinya pula.
“Jika saya mahu berkahwin, tidak logik sekiranya saya pula yang perlu menyara suami,” katanya.
Dalam pada itu, Wanna menegaskan wanita juga perlu bijak berdikari dan mencari sumber pendapatan sendiri sebagai persediaan masa hadapan.
“Wanita perlu belajar berdikari. Jangan terus mengharapkan lelaki ‘provider’ sedangkan diri sendiri tidak tahu mengurus kehidupan. Jika tidak, kita akan dilabel sebagai ‘mata duitan’.
“Sebab itu saya jaga diri dan keluarga sejak sebelum berkahwin. Apabila lelaki melihat usaha tersebut, dia akan faham bahawa saya mampu berdikari,” jelasnya.
Wanna turut bersyukur kerana dikurniakan suami, Khairil Amri Khalid, yang bertanggungjawab dan menjaga kebajikannya sejak mendirikan rumah tangga tahun lalu.
“Kalau orang kata saya nampak lebih berseri selepas berkahwin, itu kerana suami menjaga saya dengan baik,” katanya berseloroh.
Terdahulu, isu lelaki ‘provider’ menjadi perbincangan hangat dalam kalangan warga maya apabila ada yang mendakwa semakin sukar untuk mencari lelaki yang bertanggungjawab dan sanggup menunaikan tanggungjawab nafkah pada masa kini. -UTUSAN



