lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap dua aplikasi e-hailing dari Rusia yang didakwa beroperasi secara haram iaitu InDrive dan Maxim, termasuk menyekat akses platform itu.
Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menerusi kenyataan mendakwa, kedua-dua platform e-hailing itu didapati terus menawarkan perkhidmatan mereka tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.
“Ini termasuk tidak memastikan pemandu-pemandu mereka memiliki Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, seperti yang telah diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.
“Ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mempunyai Lesen PSV yang sah, malah turut menjejaskan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.
“Malahan, selain daripada ada di kalangan pemandu mereka yang dibenarkan beropersi tanpa memiliki Lesen PSV yang sah, terdapat juga dikalangan pemandu mereka tidak memiliki Insurans E-Hailing dan juga tidak melakukan pemeriksaan kenderaan seperti Terma dan Syarat yang telah ditetapkan,” katanya tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, Penghantar Malaysia menyokong keputusan Agensi Pengangkutan Darat (APAD) mengarah InDrive untuk menyerahkan lesen dan menutup operasi mereka dalam tempoh tiga bulan, baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, persatuan itu bimbang terhadap APAD kerana tidak mengambil tindakan segera dan lebih tegas terhadap platform e-hailing haram itu walaupun pelbagai aduan dan laporan dibuat oleh beberapa pemandu e-hailing sebelum ini.
“Malahan, tindakan InDrive membuat kenyataan awam bahawa ia adalah `business as usual’ adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, kerana APAD sudah pun memberi amaran dan surat penutupan operasi kepada mereka.
“Sudah tiba masanya APAD menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan dengan lebih serius.
“Tidak wajar agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia sektor pengangkutan awam terus berdiam diri dan membiarkan platform haram ini beroperasi secara terbuka,” katanya.
Katanya lagi, dua aplikasi itu jelas mengancam keselamatan pemandu dan pengguna, serta tidak wajar diberi ruang dan peluang untuk terus beroperasi dalam talian.
“Kita tidak mahu walaupun kelak ia telah diharamkan, tetapi aplikasi-aplikasi ini masih terus beroperasi dengan menggunakan kaedah lain. Ini telah pun terbukti pada beberapa tahun yang lepas.
“Ketika pemandu-pemandu e-hailing berusaha mematuhi undang-undang dan menanggung kos Lesen PSV, Insurans E-Hailing serta pemeriksaan kenderaan, mengapa kerajaan terus mengambil sikap endah tak endah terhadap mereka yang sengaja melanggar peraturan?
“Sikap ini melemahkan integriti sistem dan memberi mesej yang salah kepada pemain-pemain industri, khususnya pemandu-pemandu e-hailing,” katanya.
Justeru itu, Penghantar Malaysia mengemukakan tiga tuntutan termasuk meminta APAD segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan menjelaskan tindakan terhadap InDrive dan Maxim.
“Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dituntut menyekat aplikasi-aplikasi haram ini dengan serta-merta.
“Seterusnya, kerajaan dituntut mengukuhkan komitmen terhadap keselamatan pemandu dan pengguna, serta keadilan dalam industri gig sektor e-hailing.
“Kegagalan untuk bertindak hanya akan mengorbankan nyawa, kepercayaan pengguna dan kelangsungan pemandu e-hailing yang mematuhi undang-undang, serta akhirnya merosakkan industri gig sektor e-hailing di Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




