Sebelum ini, media melaporkan satu kejadian pembunuhan tiga sekeluarga yang dilakukan seorang lelaki selepas membakar rumah di Pagoh, Johor pada 9 Ogos.
Suspek berusia 48 tahun yang dikenali sebagai Azman Mohamed Nor kemudian ditahan reman selama tujuh hari. Mangsa yang terkorban dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu adalah ibu dan bapa suspek iaitu Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Abd Hamid, 76 dan cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11 tahun.
Seorang lagi mangsa adalah Norazima Mohd Radhi, 14 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan telah menerima lapan jahitan.
Bapa kepada kanak-kanak yang terkorban iaitu, Nor Hasyim Mohd Taher, 43 turut mengesahkan punca kematian anaknya akibat ketukan kuat pada bahagian kepala.
Sebelum ini, hasil siasatan mendapati suspek tinggal bersama dengan mangsa di Pagoh. Suspek kemudian melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas kejadian dengan menaiki bas selepas menunggang motosikal ke Terminal Bas Bentayan, Muar.





