KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang memandu kenderaan sehingga mengakibatkan sepasang suami isteri maut dan dua anak mereka cedera, dalam kemalangan jalan raya di Jalan Saujana Impian, Kajang, dekat sini, Ahad lalu, akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata suspek seorang warga tempatan berusia 28 tahun, akan dituduh di Mahkamah Kajang pada 9 pagi.
“Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Ahad lalu, pasangan suami isteri berkenaan yang dikenali sebagai Remyzan Baharudin, 42, dan isteri Suzyla Ahmad Dahlan, 40 dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan membabitkan kereta dan van di jalan berkenaan.
Dalam kejadian pada kira-kira 4 petang itu, kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan van dari arah bertentangan yang hilang kawalan, sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.
Kemalangan itu, menyebabkan Remyzan dan Suzyla meninggal dunia di tempat kejadian.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd