Suspek kes bunuh wanita Malaysia ditahan

Suspek kes bunuh wanita Malaysia ditahan

LONDON: Polis Britain menahan seorang suspek kerana disyaki terbabit dengan kes pembunuhan wanita asal Malaysia yang ditemui mati tanpa kepala di pinggir bandar Devon, akhir bulan lalu.

Memetik laporan The Sun, suspek berusia 36 tahun dari Kilburn, London berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut bagi kes pembunuhan Mee Kuen Chong, 67.

Kuen Chong dilaporkan hilang dari rumahnya di Wembley pada 11 Jun lalu, dua minggu sebelum mayatnya ditemui sejauh 354 kilometer di sebuah resort percutian popular di Devon.

Pada awalnya, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai ‘tidak dapat dijelaskan’ tetapi polis semalam mengesahkan mereka melancarkan siasatan bagi kes pembunuhan.

Menurut Scotland Yard, seorang wanita berusia 36 tahun dari Kilburn kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Siasatan juga mengesahkan Kuen Chong berasal dari Malaysia tetapi sudah menetap di Wembley lebih 30 tahun.

Menurut polis, bedah siasat sebelum gagal menemui penyebab jelas kepada punca kematian wanita itu.

“Buat masa ini, kami sedang menyiasat segala kemungkinan yang berkaitan dengan kematian Kuen Chong terutamanya pergerakannya sebelum kejadian.

“Saya berharap mana-mana individu yang ada melihat mangsa antara 19 Jun hingga 27 Jun lalu sama ada di London atau Devon, yang masih belum memberi maklumat kepada polis, sila tampil memberi maklumat.

“Amat penting untuk polis mendapatkan maklumat penuh mengenai pergerakan Kuen Chong kerana ia akan membantu kami memahami apa sebenarnya yang terjadi,” kata Ketua Detektif, Jim Eastwood. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top