Suspek kes culik remaja perempuan di Seremban ditembak mati

Suspek kes culik remaja perempuan di Seremban ditembak mati

am@hmetro.com.my

Klang: Seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes culik seorang remaja perempuan di Seremban, Negeri Sembilan pada 10 April lalu ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi dekat sini, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, terdahulu, suspek lelaki berusia 21 tahun itu cuba meloloskan diri ketika ditahan dan memandu secara melawan arus serta melanggar kenderaan polis.

“Berkenaan kejadian tembak yang berlaku di Bandar Bukit Tinggi ini adalah ekoran daripada satu kes culik yang berlaku pada 5.45 petang di Seremban (10 April) membabitkan mangsa seorang perempuan berusia 16 tahun dengan permintaan wang tebusan berjumlah RM2 juta.

“Mangsa kemudian ditinggalkan di Sendayan, Negeri Sembilan pada 8.30 malam Jumaat dan usaha mengesan suspek diteruskan yang mana kita percaya lelaki yang ditembak mati hari ini adalah salah seorang daripada suspek terbabit dalam kes culik terbabit.

“Proton Wira yang dipandu suspek ini digunakan ketika mereka meninggalkan mangsa.

“Polis turut menemukan sepucuk pistol serta parang dalam kenderaan suspek, manakala barang-barang masih menunggu semakan daripada pihak forensik,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Katanya, selain seorang suspek ditembak mati, beberapa tangkapan dan serbuan dilakukan polis berhubung kes culik berkenan yang mana maklumat terperinci berkenaannya akan dimaklumkan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman atau Ketua Polis Selangor dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kes culik dengan permintaan wang tebusan berjumlah RM2 juta ini selesai, dan maklumat terperinci mengenai berapa wang tebusan serta barang kemas yang dirampas akan dijelaskan selepas ini.

“Difahamkan, sejumlah RM280,000 bersama sejumlah barang kemas diberikan kepada kumpulan penjenayah berkenaan, bagaimanapun berapa yang kita ‘recover’ akan disahkan kemudian,” katanya.

tamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top