Suspek kes peniaga wanita dibunuh ketika COD ditahan

Suspek kes peniaga wanita dibunuh ketika COD ditahan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Polis menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes bunuh wanita yang ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 53 tahun ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Pahang dan Terengganu di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi, hari ini.

Katanya, turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.

“Pihak polis akan membuat permohonan tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh terbabit.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mayat Norshamira Zainal, 37, ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah hari.

Susulan itu, sepasukan polis bersama pakar patologi forensik dari HTAA menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan mendapati ada unsur jenayah pada tubuh peniaga makanan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top