
Suspek dikejarkan ke hospital selepas menelan kunci lokar ketika dia disoal siasat berhubung kehilangan remaja dari Gangondanahalli.
BENGALURU – Seorang lelaki mencetuskan kekecohan di balai polis Madanayakanahalli di sini apabila menelan kunci lokar ketika disoal siasat berhubung kes kehilangan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Suspek dikenali sebagai Karthik atau Ramu dari Ballari itu ditahan selepas polis berjaya menjejakinya menerusi data lokasi menara telekomunikasi susulan laporan kehilangan yang dibuat ibu bapa mangsa pada 24 April lalu.
Menurut polis, kejadian berlaku ketika suspek disoal siasat berhubung kehilangan remaja dari Gangondanahalli berkenaan.
Polis berkata, suspek bertindak menelan kunci lokar selepas diberi amaran bahawa dia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak Daripada Kesalahan Seksual (POCSO).
Bagi mengeluarkan semula kunci tersebut, suspek diberi makan hampir 10 kilogram (kg) pisang.
Insiden itu mencetuskan panik di dalam balai polis, sebelum dia segera dibawa ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan.
Suspek kekal dirawat di hospital di bawah kawalan keselamatan polis selama tiga hari.
Pegawai berkata, kunci itu akhirnya berjaya dikeluarkan melalui najis pada lewat malam.



