'Suspek mengamuk, tikam bekas abang ipar berkali-kali'

'Suspek mengamuk, tikam bekas abang ipar berkali-kali'

bhnews@bh.com.my

JASIN: Mangsa bunuh di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pagi tadi, didakwa pernah beberapa kali bertengkar dengan bekas adik iparnya yang juga suspek kes terbabit, sejak tiga hari lalu.

Pertengkaran dikatakan mempunyai kaitan dengan perebutan dua anak suspek hasil perkahwinan dengan adik perempuan mangsa sebelum pasangan itu bercerai awal tahun ini.

Jiran mangsa yang enggan dikenali mendakwa, suspek berusia 32 tahun itu datang ke rumah bekas isterinya beberapa hari lalu untuk mengambil dua anak mereka yang berusia lapan dan 10 tahun, namun ahli keluarga wanita berkenaan tidak membenarkannya.

Keesokannya, suspek dikatakan datang semula tetapi tetap gagal mendapatkan anak-anaknya.

Berikutan itu, mangsa yang dikenali sebagai Hanafiah Hanafi, 36, meminta bantuan beberapa penduduk mengawasi kediamannya bagi menghalang suspek daripada terus mengganggu keluarganya sejak malam tadi.

“Bagaimanapun, suspek tiba-tiba muncul di rumah itu kira-kira jam 7 pagi tadi dan berlaku pertengkaran dengan beberapa ahli keluarga terbabit sebelum mangsa datang untuk menenangkan keadaan,” katanya di sini, hari ini.

Suspek yang tidak berpuas hati, dikatakan terus menikam badan mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau.

Jiran berkenaan mendakwa, suasana tenang bertukar kepada jeritan ahli keluarga sebelum suspek dilihat melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang diletak berhampiran manakala mangsa terbaring berlumuran darah di halaman rumah.

Pada sidang media pagi tadi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata siasatan mendapati suspek ke rumah keluarga bekas mentuanya untuk mengambil anaknya.

“Mangsa dikatakan cuba menenangkan bekas adik iparnya sebelum ditikam beberapa kali oleh suspek di bahagian rusuk kanan.

“Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Tragedi berdarah pagi Syawal
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Scroll to Top