Susulan kes tembak di Nilai: Dua penjenayah ditembak mati ahli kongsi gelap

Susulan kes tembak di Nilai: Dua penjenayah ditembak mati ahli kongsi gelap

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua penjenayah yang ditembak mati polis di kawasan parkir sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin disahkan terbabit dalam kegiatan kongsi gelap yang aktif melakukan lebih 70 kes samun di empat negeri sejak tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati mereka disyaki menyertai kumpulan jenayah terancang yang menyasarkan rumah kediaman, premis pengumpulan barang syarikat penghantaran serta kedai serbaneka.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dipercayai bergerak aktif di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM1 juta.

“Suspek dipercayai menyasarkan premis tertentu untuk disamun dan hasil siasatan awal mendapati mereka aktif sejak 2023.

“Polis kini memburu saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan dua penjenayah ini dan operasi giat diteruskan bagi memburu mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan polis menembak mati dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun kira-kira pukul 10 malam di kawasan parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai dekat sini.

Fadil dilaporkan berkata, polis berbalas tembakan dengan suspek sebelum lelaki tempatan berusia 29 dan 40 tahun itu mati ditembak.

“Suspek berusia 40 tahun didapati mempunyai 76 rekod jenayah membabitkan keganasan dan dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai 11 rekod.

“Suspek dikatakan menyewa kondominium di situ dan menjadikannya sebagai lokasi persinggahan, malah banyak lagi lokasi lain dijadikan tempat penginapan,” katanya.

Katanya, polis turut menemukan dua senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan pistol revolver yang dipercayai digunakan suspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top