YANGON: Pemimpin Myanmar yang digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera, Aung San Suu Kyi, dihadapkan ke mahkamah, hari ini.
Suu Kyi berdepan sejumlah besar pertuduhan jenayah yang dilihat boleh menghalangnya daripada kembali memegang tampuk kepimpinan selepas ini.
Barisan peguam Suu Kyi mengadakan pertemuan pertama dengannya, semalam – menerusi pautan video di sebuah balai polis – sejak beliau diguling dan ditahan pada awal pagi 1 Februari lalu.
Peguamnya memaklumkan bahawa pemimpin berusia 75 tahun itu dilihat berada dalam keadaan sihat.
Prosiding hari ini dijangka hanya mengambil masa singkat, bagi menguruskan aspek pentadbiran kes berkenaan.
Junta dilaporkan turut menyiasat dakwaan bahawa Suu Kyi menerima sejumlah bayaran dalam bentuk emas dan tunai lebih AS$1 juta.
Bagaimanapun salah seorang peguamnya, Khin Maung Zaw, memaklumkan dakwaan terbabit dilihat tidak akan menjadi sebahagian daripada pertuduhan rasmi, setakat ini. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




