SUV catat jualan tertinggi pada Ogos

zaky@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jualan kenderaan bermotor di Malaysia kekal melebihi 70,000 unit pada Ogos 2026, dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 71,428 unit, walaupun susut dua peratus berbanding 73,041 unit pada bulan sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, momentum jualan terus bertahan pada Ogos, dengan TIV bulan berkenaan hanya tiga peratus lebih rendah berbanding jumlah dicatat pada bulan sebelumnya.

Prestasi itu disokong terutama oleh jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mencatatkan paras bulanan tertinggi tahun ini, iaitu hampir 24,000 unit.

MAA berkata, pencapaian jualan SUV berkenaan sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelancaran model baharu dalam segmen berkenaan.

Selain SUV, permintaan terhadap trak pikap turut menunjukkan peningkatan berterusan, dengan jualan hampir 3,000 unit pada Ogos.

Menurut MAA, jumlah itu menjadi paras jualan bulanan kedua tertinggi bagi trak pikap sepanjang tahun ini.

Momentum pasaran pada Ogos turut disokong kempen promosi jualan agresif yang dilaksanakan anggota MAA.

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, jumlah jualan keseluruhan industri meningkat tiga peratus kepada 530,478 unit berbanding 516,862 unit dalam tempoh sama 2025.

Daripada jumlah itu, jualan kenderaan penumpang (PV) meningkat empat peratus kepada 497,595 unit daripada 478,824 unit sebelumnya.

Bagaimanapun, jualan kenderaan komersial (CV) susut 14 peratus kepada 32,883 unit berbanding 38,038 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 64,549 unit kenderaan dihasilkan pada Ogos 2026, turun tujuh peratus daripada 69,351 unit pada bulan sama tahun lalu.

Pengeluaran kenderaan penumpang berjumlah 61,242 unit, berbanding 65,393 unit pada Ogos 2025, iaitu penurunan enam peratus.

Sementara itu, pengeluaran kenderaan komersial susut 16 peratus kepada 3,307 unit daripada 3,958 unit sebelumnya.

Secara kumulatif, pengeluaran kenderaan bagi tempoh lapan bulan pertama 2026 meningkat satu peratus kepada 496,985 unit berbanding 493,716 unit dalam tempoh sama 2025.

Pengeluaran PV menyumbang 468,986 unit, meningkat satu peratus daripada 466,505 unit, manakala pengeluaran CV meningkat tiga peratus kepada 27,999 unit daripada 27,211 unit.

MAA berkata, momentum jualan semasa dijangka dapat dikekalkan pada September 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top