SUV hibrid efisien untuk pengguna bandar

SUV hibrid efisien untuk pengguna bandar

lizamridzuan@hmetro.com.my

DALAM landskap automotif yang semakin kompetitif dan dipacu teknologi hijau, UMW Toyota Motor Sdn Bhd kembali mengukuhkan posisi mereka menerusi pengenalan Corolla Cross HEV GR Sport versi 2026.

Ia adalah model kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid yang kini tampil dengan peningkatan dari segi rekaan, kemasan dan talaan pemanduan, sejajar dengan keperluan pengguna bandar masa kini.

Model ini terus menyasarkan pengguna yang mengutamakan keseimbangan antara kecekapan bahan api, keselesaan harian dan praktikaliti penggunaan, khususnya bagi golongan profesional muda serta keluarga kecil di kawasan urban.

Sejak diperkenalkan di pasaran tempatan, Corolla Cross HEV GR Sport mencatat penerimaan positif, terutama dalam kalangan pembeli yang mencari alternatif kepada SUV petrol konvensional tanpa perlu beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik.

Bagi tahun 2026, pendekatan yang diambil Toyota lebih bersifat penambahbaikan berperingkat, berbanding perubahan drastik.

Fokus diberikan kepada aspek visual, keselesaan dan kestabilan pemanduan, sambil mengekalkan asas teknikal sedia ada.

Dari sudut luaran, perubahan utama membabitkan rekaan gril hadapan, kemasan lampu kabus dan ‘skid plate’ depan serta belakang yang memberikan penampilan lebih kemas dan tersusun dan ia menonjolkan identiti GR Sport tanpa terlalu menonjol secara agresif.

Profil sisi turut menerima sentuhan baharu menerusi kemasan ‘moulding’ yang lebih jelas, manakala pakej bumbung hitam kini ditawarkan sebagai standard, sekali gus menyerlahkan imej moden yang lebih serasi dengan persekitaran bandar.

Pilihan warna seperti Platinum White Pearl, Dark Turquoise dan Red Mica Metallic pula memberi variasi kepada pengguna, bergantung kepada kecenderungan sama ada mahukan penampilan konservatif atau sedikit berbeza.

Memasuki ruang kabin, pendekatan reka bentuk lebih tertumpu kepada suasana pemanduan yang kemas dan teratur. Tema monokrom hitam dipadankan dengan jahitan merah pada beberapa bahagian utama, termasuk stereng dan panel pintu.

Perincian seperti tali pinggang keledar merah, kemasan perak gelap serta sulaman logo GR pada tempat duduk menambah elemen identiti tanpa mengurangkan fungsi asas sebuah SUV keluarga.

Enjin kekal dengan kapasiti 1,798 cc empat silinder selari, 16 injap DOHC dengan VVT-1 menjana 98PS pada 5,200 rpm dan tork 142Nm pada 3,600 rpm dan transmisi e-CVT.

Ia dibantu dengan bateri elektrik hibrid Nickel Metal Hydride menjana 201.6 voltan dengan kapasiti 6.5 Amr untuk tambahan kuasa 53 kW dan tork 163Nm menerusi Synchronous Motor with Permanent Magnet.

Dari aspek dinamik pemanduan, suspensi talaan khas GR Sport menjadi antara perubahan utama. Ia menawarkan kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh dan pada kelajuan tinggi, sambil mengekalkan tahap keselesaan yang sesuai untuk kegunaan harian.

Talaan ini dibangunkan dengan mengambil kira keadaan jalan raya tempatan, termasuk permukaan tidak sekata dan trafik bandar yang padat, menjadikannya lebih relevan untuk konteks Malaysia.

Menariknya, walaupun menerima beberapa naik taraf, model ini ditawarkan tanpa perubahan harga RM148,800.. Ia turut disokong oleh jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta perlindungan khusus sistem hibrid, termasuk bateri dan unit kawalan kuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top