SUV jarak jauh

SUV jarak jauh

lizamridzuan@hmetro.com.my

Terdapat banyak sekali pilihan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berada dalam pasaran tempatan daripada pelbagai jenama sama ada enjin pembakaran dalaman (ICE) atau pun kenderaan elektrik (EV).

Tidak terkecuali model ini yang mula diperkenalkan sejak 2000 menawarkan ciri rekaan yang sporty serta elemen praktikal dengan ciri tujuh tempat duduk.

Memasuki generasi kelima, Hyundai Santa Fe Baharu kini sudah berada dalam pasaran tempatan yang dilancarkan pada September tahun lalu dan Vroom berkesempatan memandu ujinya baru-baru ini.

Di Malaysia ia dipasarkan Hyundai-Sime Darby Motors (HDSM) dengan tiga varian pilihan iaitu 1.6L Turbo Hybrid Plus, 1.6L Turbo Hybrid Max dan dan 2.2L Turbo Diesel Max seperti unit pandu uji ini.

Daripada segi reka bentuk, Santa Fe menampilkan ciri rekaan gaya futuristik terutama dengan gril luas corak geometri khusus Hyundai, digabungkan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk T yang menampilkan wajah lebih garang di atas jalan raya.

Pada bahagian sisi menampilkan garis dinamik dari depan ke belakang dan lampu belakang disambungkan dengan jalur bercahaya yang menyerlahkan kelebaran SUV ini.

Ia juga dengan padanan rim aloi bersaiz 20 inci menjadikan reka bentuk SUV lebih ranggi dan sporty selain rel bumbung untuk menambah gaya aktif pada model ini.

Ruang kabin Santa Fe dengan padanan warna gelap jadi kegemaran penulis ekoran meningkatkan suasana ciri elegan serta keselesaan terutama kerusi kulit yang selesa dengan perehat kepala yang empuk.

Kerusi hadapan dengan larasan elektrik memudahkan ketetapan kedudukan pemandu dan penumpang. malah untuk kerusi baris kedua yang boleh dilaras kedudukan bagi memberi lebih ruang kaki terutama untuk baris ketiga.

Sebagai model tujuh tempat duduk, pada pandangan penulis baris ketiga lebih sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa untuk jarak pendek jika ada penumpang tambahan.

Selain itu ia juga dengan sistem infotainmen skrin sesentuh bersaiz 8 inci Hyundai SmartSense Safety Suite dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto ciri wajib anda untuk model terbaharu.

Untuk pemandu disediakan dengan kluster meter digital penuh bersaiz 12.3 inci TFT LCD dan Rheostat dengan pelbagai maklumat boleh dilihat dengan mudah.

Ciri lain dengan sistem pendingin hawa dwi zon automatik, memastikan keselesaan sepanjang perjalanan serta Smart Power Tailgate memudahkan proses memuat dan memunggah barang, menambah aspek praktikal untuk pengguna harian.

Untuk pemanduan Santa Fe varian 2.2L dengan enjin 2,151 cc diesel turbo CRDi yang menghasilkan kuasa 202 PS dpada 3,800 rpm dan tork 440Nm pada 1,750 hingga 2,750 rpm.

Ia dipadankan dengan tranmisi 8 kelajuan DCT serta pacuan semua roda (HTRAC) yang menjadikan perjalanan lebih responsif dan berprestasi mengikut keadaan permukaan jalan.

Meskipun enjin diesel, penulis tidak dapat terlalu merasakan ia seakan memandu trak pikap atau lori kerana kesenyapan dan kelancaran yang ditawarkan menerusi enjin ini.

Untuk pemanduan fleksibel, Santa Fe dilengkapi mod pemanduan Comfort, Eco, Sport dan Smart selain pilihan untuk pelbagai permukaan seperti pasir, salji, dan lumpur.

Ciri keselamatan Hyundai SmartSense menawarkan fungsi seperti Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan (FCA), Amaran Perlanggaran Titik Buta (BCW), Bantuan Mengelak-Perlanggaran Titik Buta (BCA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dan Kawalan Pelayaran Pintar (SCC).

Ia juga dengan enam beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Brek Perlanggaran Pelbagai (MCB) dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya Hyundai Santa Fe varian 2.2l diesel ini model SUV dengan ciri paling penulis gemari ialah penggunaan bahan api dieselnya.

Menerusi satu isian penuh 67 liter, ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 800 kilometer (bergantung kepada gaya pemanduan, lokasi dan bebanan) dan sesuai buat mereka yang sering melakukan perjalanan jauh.

Penulis mencatat penggunaan sekitar 9.4l untuk setiap 100km dan ia dipandu dengan pelbagai kelajuan serta pelbagai bebanan.

Selain itu ciri pengendalian terbaik dengan suspensi hadapan MacPherson Strut dan belakang Multi Link bagi keselesaan keseluruhan penumpang serta ketepatan laluan terutama di selekoh.

Ruang kabin fleksibel, luas dan selesa serta pelbagai ciri keselamatan terkini sesuai buat keperluan semasa dan rekaan ciri moden memberikan kelebihannya.

Hyundai Santa Fe Baharu 2.2L Turbo Diesel Max ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD) yang dijual pada harga RM209,888.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top