Stockholm: Walaupun mengharungi kempen kelayakan yang buruk dengan empat kekalahan dan menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan, Sweden kini hanya satu perlawanan daripada layak ke Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada hasil sistem kelayakan yang memberi peluang kedua kepada pasukan.
Sweden tampil hambar dalam Kumpulan B apabila menamatkan saingan di tempat keempat di belakang Switzerland, Kosovo dan Slovenia, termasuk dua kali seri dengan Slovenia.
Prestasi buruk itu turut menyaksikan jurulatih Jon Dahl Tomasson menjadi ketua jurulatih lelaki pertama dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Sweden (SvFF).
“Ini satu peluang yang menakjubkan. Kami mendapat peluang ini kerana apa yang pasukan lakukan dalam Liga Negara-Negara. Jadi kami berada di sini, dan sekarang kami ada satu perlawanan untuk ke Piala Dunia, yang merupakan impian,” kata pengurus baharu Sweden, Graham Potter dalam sidang media hari ini.
“Kami melihatnya sebagai peluang positif, dan kami sangat menantikannya.”
Potter membimbing Sweden dalam dua perlawanan kelayakan terakhir mereka, tewas 1-4 kepada Switzerland dan seri dengan Slovenia di tempat sendiri. Namun keputusan itu akhirnya tidak menjejaskan peluang mereka selepas kemenangan dalam kumpulan Liga Negara-Negara UEFA C1 memberikan laluan baharu.
Untuk play-off Eropah, 12 naib juara kumpulan kelayakan Piala Dunia disertai empat juara kumpulan Liga Negara-Negara yang tidak menamatkan saingan di dua tempat teratas, berdasarkan ranking sementara Liga Negara-Negara UEFA 2024–25.
Sweden merupakan salah satu daripada empat pasukan tersebut. Selepas menewaskan Slovakia, Estonia dan Azerbaijan untuk memenangi kumpulan Liga Negara-Negara mereka, Sweden mara ke play-off dan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ukraine minggu lalu, sekali gus berada di ambang kelayakan ke Piala Dunia di Amerika Utara, tempat mereka pernah menduduki tempat ketiga pada 1994 di Amerika Syarikat.
“Kami sangat gembira dan bersyukur kerana mendapat peluang ini, walaupun perlawanan kelayakan tidak seperti yang diharapkan,” kata kapten Sweden, Victor Lindelof.
“Liga Negara-Negara dan keputusan di sana memberi kami peluang ini, kami sangat gembira berada dalam situasi ini.”
Selepas sebelum ini diejek penyokong sendiri di awal kempen, Lindelof menjangkakan sambutan berbeza apabila mengetuai pasukan di Strawberry Arena yang penuh ketika menentang Poland, awal pagi Rabu.
“Sokongan penyokong sangat bermakna. Stadium penuh memberi kami tenaga. Ia sangat penting untuk saya dan juga semua pemain,” katanya.
“Saya rasa ramai yang tidak sabar untuk turun ke padang dan merasai suasana itu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




