Sweet Qismina 'lulus ujian'

Sweet Qismina 'lulus ujian'

najiy.jefri@hmetro.com.my

NAMA Sweet Qismina terus bersinar sebagai permata yang sentiasa mempersembahkan karya penuh jiwa.

Dengan keazaman yang tidak pernah pudar, pelakon bernama Farhanna Qismina Supandi itu membuktikan dirinya bukan sekadar insan biasa di layar perak, tetapi seorang figura menghargai setiap butir seni lakonannya.

Terbaru, penampilannya menerusi filem Babah mendapat pujian positif, menandakan sebuah kejayaan besar dalam perjalanan seninya.

“Saya tidak berhenti membuat latihan untuk menjayakan filem ini termasuk di luar set. Saya letakkan 101 peratus usaha untuk bawa watak pesakit sindrom Guillain-Barré.

“Saya bersyukur apabila penonton memberitahu watak saya itu menjadi. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Walaupun watak Maya penuh dengan cabaran, namun Sweet tetap optimis dan menjadi cabaran itu sebagai dorongan untuk melangkah lebih jauh.

Baginya, Babah bukan sekadar sebuah projek seni, tetapi peluang untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pelakon yang ‘versatile’.

“Secara jujurnya, saya terima tawaran ini sebab dua perkara iaitu watak yang mencabar sehingga saya perlu turunkan berat badan.

“Kedua adalah mempelajari bahasa isyarat. Tak semua filem mengetengahkan bahasa isyarat untuk tatapan penonton,” katanya.

Filem ini, tanpa ragu, menonjolkan sisi Sweet yang lebih matang, mencerminkan usaha gigih dan keinginannya untuk terus mengangkat seni lakonan ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut Sweet yang juga isteri kepada pelakon, Adam Lee, menjayakan watak pesakit sindrom Guillain-Barré bukanlah suatu tugas yang mudah.

Demi memastikan lakonannya benar-benar berbekas di hati penonton, Sweet sanggup menurunkan berat badannya hampir 10 kilogram (kg) seperti keadaan pesakit sebenar.

“Untuk watak sakit itu, saya memang dah rancang nak kuruskan badan, nak diet, tapi tak terfikir pula penerbit cadangkan saya untuk dapatkan rundingan dengan pakar diet. Mereka suruh saya buat ‘liquid’ diet,” katanya.

Bagi Sweet, proses itu menjadi lebih mencabar apabila ia berlaku sebaik saja dia mendirikan rumah tangga.

“Kebetulan masa itu baru kahwin, jadi berat saya mencecah 53 kg. Saya terpaksa turunkan sebanyak 10 kg dalam masa sebulan.

“Dalam tempoh seminggu, memang saya minum susu saja. Kalau lapar sangat, saya hanya makan buah epal dan sebiji telur,” katanya.

Walaupun berjaya menurunkan lima kg dalam tempoh itu, Sweet tidak berhenti di situ.

“Penerbit minta saya kuruskan lagi supaya nampak cengkung. Selepas jadual penggambaran disusun semula, akhirnya saya berjaya turunkan 10 kg,” katanya.

Selain Sweet, filem Babah turut dibintangi Qi Razali, Qistina Suzzane, Adam Lee dan Kis Aisha.

Dalam perkembangan lain, filem Babah sudah tiga minggu ditayangkan di pawagam dan hasil kutipan terkini sudah mencecah RM6 juta.

Filem arahan Mohd Shah Faizul itu juga bakal memasuki pasaran Singapura dan pawagam di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Sweet menolak tanggapan orang yang mendakwa penerbit wajib mengambil mereka berdua dalam satu drama atau filem.

“Kami tak pernah letakkan syarat wajib untuk penerbit ambil kami berdua. Kami sendiri bimbang penonton rasa muak dan bosan apabila kerap melihat kami bersama.

“Saya sendiri pun akan ada perasaan yang sama jika ada pasangan pelakon lain yang kerap muncul dalam satu drama kerana kami gemar menonton drama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top