Swiatek rangkul gelaran Wimbledon dengan rekod luar biasa

Swiatek rangkul gelaran Wimbledon dengan rekod luar biasa

BINTANG tenis Poland, Iga Swiatek mencipta sejarah apabila muncul pemain pertama dari negaranya menjuarai gelaran perseorangan Wimbledon selepas menumpaskan pemain Amerika Syarikat, Amanda Anisimova 6-0, 6-0 dalam aksi final yang hanya berlangsung selama 57 minit.

Pemain pilihan kelapan berusia 24 tahun itu langsung tidak menunjukkan belas kasihan, memanfaatkan sepenuhnya kegugupan Anisimova yang pertama kali beraksi di pentas akhir Grand Slam, sekali gus mengejutkan para penonton di Centre Court.

Kekalahan tersebut menjadi mimpi ngeri buat Anisimova, pilihan ke-13 kejohanan yang mencatat sejarah sebagai pemain pertama dalam lebih 100 tahun tewas 0-6, 0-6 dalam final Wimbledon.

Kali terakhir keputusan sedemikian direkodkan dalam final Grand Slam adalah ketika Steffi Graf menewaskan Natasha Zvereva di Terbuka Perancis 1988.

Swiatek yang sebelum ini tidak pernah melepasi suku akhir di Wimbledon walaupun telah menjuarai empat gelaran Terbuka Perancis tidak menyangka bahawa kejuaraan Grand Slam keenamnya hadir dengan begitu mudah.

Sebelum final, beliau hanya melepaskan dua permainan ketika menewaskan Belinda Bencic di separuh akhir dan mempamerkan aksi lebih dominan di pentas akhir apabila menoktahkan kemenangan menerusi pukulan backhand yang padu.

Kejayaan ini menjadikan Swiatek menang kesemua enam penampilan final Grand Slam dan mencatatkan 100 kemenangan daripada 120 perlawanan di kejohanan utama, menjadikannya pemain terpantas mencapai angka itu sejak Serena Williams pada tahun 2004.

Lebih manis, Swiatek kini menjadi pemain termuda menjuarai Grand Slam di ketiga-tiga permukaan utama tanah liat, gelanggang keras dan rumput sejak Serena mencapainya pada tahun 2002.

Ia juga merupakan gelaran pertamanya sejak kali terakhir menjulang trofi di Roland Garros, 13 bulan lalu.

“Ia seperti mimpi yang terlalu jauh. Saya sendiri tidak pernah berani untuk memasang impian ini.

“Saya rasa saya sudah cukup berpengalaman, tetapi tidak pernah menjangkakan akan menang di sini,” katanya yang sebelum ini hadir ke Wimbledon tanpa harapan tinggi susulan prestasi kurang meyakinkan di permukaan rumput.

Sebaliknya, simpati jelas terpancar buat Anisimova yang langsung gagal menyesuaikan diri dengan tekanan final.

Beliau hanya memenangi 24 mata keseluruhan dan melakukan 28 kesilapan dalam perlawanan yang meranapkan impiannya untuk menjadi juara Amerika Syarikat pertama sejak Serena Williams pada 2016.

Dengan nada penuh emosi, Anisimova menyampaikan penghargaan kepada para peminat dengan berkata: “Walaupun saya kehabisan tenaga dan gagal memberi persembahan terbaik hari ini, anda semua tetap bersama saya dan memberi sokongan.

“Saya tahu saya belum cukup hari ini, tetapi saya akan terus bekerja keras dan saya sentiasa percaya pada diri sendiri. Harap suatu hari nanti saya dapat kembali ke sini.”

Scroll to Top