mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sewa inap desa sebagai tempat penyimpanan dadah dengan bayaran RM200 sehari.
Itu modus operandi sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah inap desa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum terbongkar susulan penahanan empat lelaki tempatan di Segambut, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menahan empat suspek berusia 23 hingga 32 tahun itu dengan tiga ditahan di ruang tamu dan seorang lagi berhampiran inap desa terbabit pada jam 7 malam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di inap desa itu, polis menemui 13 guni mengandungi 250 bungkusan plastik teh yang berisi dadah disyaki syabu.
“Anggaran berat keseluruhan dadah dirampas 261 kilogram yang bernilai RM13 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Fadil berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu adalah menyewa inap desa dalam tempoh empat hari dengan bayaran RM200 sehari.
“Mereka kemudian mengedar peket dadah kecil secara mobil dengan menggunakan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai RM100 dan dua kenderaan, Perodua Alza dan Toyota Vellfire yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Semakan lanjut mendapati tiga suspek memiliki rekod lampau dan kesemua suspek direman bermula 28 Januari hingga 3 Februari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




