Pelakon Syafie Naswip mendedahkan berat badannya bertambah sebanyak dua kilogram sepanjang menjalani penggambaran filem Gayong 2.
Kata Syafie atau lebih mesra dengan panggilan Ayie, punca disebalik pertambahan berat badannya itu adalah disebabkan rakan artis yang juga pelakon versatile, Nabila Huda yang gemar memasak di set penggambaran setiap kali waktu rehat.
“Memang boleh nampak badan saya sedikit berisi dalam Gayong 2 sebab di set memang sentiasa ada makanan.
“Pantang ada waktu rehat, Kak Abil (Nabila Huda) akan jamu kami dengan masakan yang dia sediakan sendiri. Ada masak lemak cili padi, nasi goreng, pasta dan pelbagai lagi di set.
“Dan, saya di set masak juga. Jadi bila tengah malam (supper) macam-macam makanan ada,” katanya.

Ayie berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Gayong 2 yang di adakan di TGV One Utama, Damansara baru-baru ini.
Meskipun mengalami perubahan fizikal, namun dia menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses mendalami watak sekali gus ia adalah pengalaman berharga untuknya.
“Untuk Gayong 2 ini saya nampak lebih bulat sedikit, tetapi bila difikirkan kembali, saya cakap pada isteri, tak mengapa, mungkin inilah yang Tuhan mahukan untuk watak ini. Sebab itulah Tuhan beri Nabila memasak untuk beri kami semua makan,” jelasnya.

Mengulas mengenai beberapa babak pertarungan melibatkan dirinya, Ayie mengakui isu kecederaan adalah perkara biasa.
“Every action akan ada terkena sedikit itu normal. Tapi sampai berdarah itu tak adalah. Kita sangat menjaga benda tu sebabnya kita akan ada konti untuk babak lain pula.
“Jadi semuanya adalah terkawal dekat set. Semuanya sangat profesional,” ujarnya.
Selain Syafie, filem terbitan SOL Pictures Sdn Bhd itu turut dibintangai barisan pelakon hebat antaranya, Beto Kusyairy, Nabila Huda Sandra Lim, Hanna Aqeela, Fauzie Laily dan ramai lagi.




