Pelakon popular, Syafiq Kyle tampil memberikan respons susulan isu merahsiakan perkahwinannya bersama aktres, Mimi Lana.
Kata Syafiq ketika ditemui XTRA, dia tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira tersebut kepada umum melainkan mahu menghormati keputusan keluarga pihak isteri.
“Sebab saya rasa apa jalan kerja yang saya buat sampai ke hari nikah saya hanya lakukan yang diperlukan.
“Dan ia atas kehendak dan persetujuan dari keluarga. Saya hormati pihak Mimi dan begitu juga dengannya.
“Perkara itu juga dibincang dengan pengurus. Dan kami membuat keputusan untuk maklumkan semasa majlis nikah,” ulasnya.
Syafiq berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sesi tayangan episod akhir drama terbitan Viu, Gadis Semasa yang diadakan di Aloft Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Meskipun melalui fasa pasang surut ketika menjalin hubungan cinta, Syafiq atau nama penuhnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, bagaimanapun meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua peminat yang sentiasa mendoakan hubungannya bersama Mimi agar berakhir ke jenjang pelamin.
Malah, pelakon filem Sheriff:Narko Integriti ini berasa teruja apabila berkongsi perubahan terbesarnya bergelar suami dek kerana setiap kali pulang ke rumah, dia akan disambut dengan hidangan nasi setiap hari.
“Alhamdulillah, doa anda semua yang sentiasa ada dengan saya sehinggalah membawa saya dan Mimi ke jenjang pelamin.
“Setakat ni kami sibuk, holiday tak sempat lagi… banyak habis masa di Taiping. Cadang nak holiday tapi mungkin lepas raya.
“Apa yang boleh saya kongsikan adalah perubahan terbesar saya, setiap hari ada nasi di rumah,” katanya.
Sambut ramadan bersama isteri
Dalam masa sama, Syafiq menjelaskan, Ramadan kali ini dia tidak terikat dengan sebarang penggambaran dan hanya fokus kepada perniagaan yang diusahakan.
Bahkan, dia juga dapat menikmati bulan Ramadan bersama isteri seperti yang dihajatinya seperti sebelum ini.
“Tahun lepas saya puasa seorang diri sehinggalah saya beraya di Makkah.
“Mungkin itu doa saya nak puasa seterusnya lebih manis. Alhamdulillah Allah bagi, dan itu juga doa mak saya. Yang baik ini kami minta raikanlah.
“Ramadan tahun ini tiada penggambaran, fokus kepada bisnes sama juga dengan Mimi.
“Untuk 6 bulan awal ni fokus perniagaan sendiri. Lepas raya inshaa-Allah ada projek besar,” jelasnya.
Majlis resepsi
Tambahnya, dia bercadang untuk mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur, namun ia masih dalam perbincangan.
“Ada cadangan, nak buat dekat Kuala Lumpur tapi, itu masih dalam perancangan dan perbincangan kami. Memandangkan kami berdua sekarang masih sibuk,” ujarnya.
Untuk rekod, Syafiq dan Mimi mendirikan rumah tangga secara tertutup pada 14 Februari lalu di Taiping Perak.
Majlis penuh intimate itu hanya dihadiri ahli keluarga dan sahabat terdekat sahaja.




