am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anak lelaki kepada Allahyarham Dharma Harun, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, memohon jasa baik orang ramai agar memberi masa untuk melunaskan hutang bapanya.
Syafiq berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram Storynya, semalam.
Syafiq berkata, dia sebagai anak bertanggungjawab membantu memudahkan urusan roh arwah bapanya di alam barzakh selain meminta agar orang ramai menghalalkan hutang arwah bapanya.
“Assalamualaikum semua, seperti yang semua tahu, Ayah saya Dharma Harun Al Rashid telah meninggal dunia dan saya sebagai anak kena bantu roh arwah agar dipermudahkan urusan dia di alam barzakh.
“Permintaan selain doakan dia agar minta halalkan hutang-hutang arwah,” tulisnya.
Syafiq berkata, arwah bapanya seorang yang sangat baik dan mengutamakan keluarga, malah segala pendapatan digunakan untuk membesarkan adik-beradiknya serta membiayai pengajian mereka di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
“Arwah seorang yang baik, segala duit adalah untuk membesarkan kami serta bantu pembelajaran kami di ASWARA,” tulisnya lagi.
Syafiq turut berkongsi, dia dan kakaknya masih menuntut dan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana terikat dengan pelajaran selain meminta agar hutang arwah bapanya dialihkan kepada dia.
“Jika tidak dapat dihalalkan, saya mohon hutang dialihkan kepada saya,” tulisnya.
Syafiq berkata, dia akan cuba menyelesaikan hutang arwah bapanya selepas tamat pengajian agar roh arwah bapanya tenteram.
“Insya-Allah selepas tamat belajar, saya akan cuba selesaikan demi ketenteraman roh arwah,” tulisnya lagi.
Syafiq turut merayu ihsan orang ramai untuk mendoakan agar segala urusan arwah bapanya dipermudahkan di alam barzakh.
“Minta ihsan tuan dan puan bantu saya, ayah telah banyak sengsara pada sisa-sisa hidup dia. Sebagai anak yang bertanggungjawab minta sangat halalkan agar roh bapa saya tenteram dan dipermudahkan urusan dia dialam sana,” kongsinya di Instagram Story.
Syafiq meminta agar orang ramai menghubunginya melalui Instagram miliknya, @syafiqdharma.
“Dm instagram saya @syafiqdharma untuk dihubungi. Moga Allah balas jasa baik tuan atau puan,” tulisnya lagi.
Terdahulu, pelakon Dharma Harun Al Rashid meninggal dunia pada 25 November lalu di kediamannya di Wangsa Maju kira-kira jam 9.10 malam.
Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, jam 12.30 tengah hari 26 November lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd


