sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konsistensi luar biasa di pentas antarabangsa mengangkat nama tekong negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi sebagai tekong terbaik dunia, sekali gus mencipta satu lagi sejarah buat sepak takraw Malaysia.
Pengiktirafan berprestij itu disahkan Setiausaha Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang menyifatkan pemain berusia 30 tahun itu antara tekong paling digeruni ketika ini.
Ketajaman servis serta ketenangan Syahir dalam mengawal rentak permainan, terutama ketika berdepan perlawanan berintensiti tinggi, menjadi faktor utama kejayaannya mengekalkan prestasi konsisten sejak dua tahun lalu.
Prestasi cemerlang itu turut menjadi tulang belakang kejayaan Malaysia menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Sea Thailand 2025 menerusi kejayaan dalam acara regu dan regu berpasukan.
Anugerah berkenaan diberikan selepas Syahir menampilkan aksi mengagumkan di beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 serta Sukan Sea 2025.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai hasil kerja keras dan ketabahan Syahir.
“Kesungguhan, disiplin dan keazaman Syahir selepas melalui pelbagai cabaran menjadikannya contoh terbaik buat pemain muda,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sumali turut mengesahkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 15 hingga 24 Mei depan.
Kejohanan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu dijangka menghimpunkan 26 negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat tumpuan sepak takraw dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




