
Syamer Foto: Football Association of Malaysia
PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Syamer Kutty Abba mengakui terpaksa meninggalkan isterinya demi pasukan bola sepak negara menjelang Piala Asia 2023 dari 12 Januari hingga 10 Februari di Doha, Qatar.
Bagaimanapun dia bersyukur pasangannya Nur Miza Athira, sangat memahami komitmennya bersama skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon.
“Saya sudah berbincang perkara ini dengan isteri, dia tahu keutamaan saya ialah bola. Saya amat berbangga dapat panggilan negara dan terima kasih kepada petugas kejurulatihan kerana beri peluang dapat (tersenarai) ke dalam skuad akhir,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan pada Khamis.
Syamer yang kembali bersama Harimau Malaya selepas kali terakhir menyarung jersi negara pada Jun lalu, berkata, bermain dalam temasya Piala Asia merupakan impian seorang pemain bola sepak.



