Syamim nekad baiki kelemahan, prestasi tak menentu

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Melaka United FC, Ahmad Syamim Yahya mengakui prestasinya masih tidak menentu selepas mengharungi sembilan aksi Liga Super 2021.

Namun dirinya bertekad ingin terus memperbaiki kelemahan bagi membantu pasukan yang kini di tangga ketiga tercorot.

Musim kedua bersama Melaka, Syamim berjaya meraih gol pertamanya ketika menentang Selangor FC pada minggu lalu selepas kali terakhir dia menjaringkan gol adalah pada 2019 ketika bersama Terengganu FC.

Semestinya, gol sulung itu memberi semangat baharu kepada pemain berusia 30 tahun ini untuk cuba beri impak lebih besar kepada pasukan untuk meraih kemenangan apatah lagi mereka kini sedang bergelut dengan prestasi.

Tidak menolak tekanan makin dirasai, Syamim percaya rakan sepasukan yang lain dapat mengatasi cabaran untuk aksi seterusnya selain berharap dua baki perlawanan sebelum berakhir pusingan pertama Liga Malaysia dapat memihak kepada mereka.

“Sememangnya jaringan gol minggu lalu beri semangat yang positif kepada saya dan saya akan kerja dengan lebih keras untuk cuba meledak gol lagi selepas ini.

“Saya tidak menafikan prestasi saya ada turun naik sebelum ini, tetapi bersyukur apabila masih diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama dan saya sentiasa berusaha keras untuk lebih konsisten perlawanan demi perlawanan.

“Untuk pasukan, perlawanan masih banyak lagi pada musim ini, jadi saya positif kita sempat untuk perbaiki kedudukan dengan lebih baik, dan aksi menentang Perak FC pada Ahad ini, kita kena perlu lebih serius sebab bagi saya, Perak masih lagi antara pasukan terbaik”, katanya.

Dalam pada itu, pertahanan Kedah Darul Aman FC, Ariff Farhan Md Isa mengakui masih mencari rentak permainan yang lebih baik selepas dibelenggu kecederaan di kepala ketika aksi pra musim, Februari lalu.

Dia bagaimanapun telah diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan terdahulu menentang Terengganu FC dan Perak FC sambil menyifatkan prestasinya masih belum di tahap memuaskan.

“Saya bersyukur apabila dapat beraksi penuh dan jurulatih (Aidil Sharin Sahak) juga percaya dekat saya, cuma secara peribadi, saya sendiri masih belum puas dengan prestasi sendiri, banyak benda lagi kena perbaiki.

“Untuk berdepan Kuala Lumpur City FC pada malam esok, saya tidak pasti lagi akan diturunkan atau tidak, tetapi jika masih diberi peluang, pastinya saya ingin balas kepercayaan yang telah diberi ini.

“Lawan juga bukan calang-calang dan mereka juga ada pemain-pemain import yang merbahaya untuk kita, dan kita tahu ia tidak akan menjadi perlawanan mudah walaupun kita beraksi di laman sendiri”, jelasnya.

Selain perlawanan antara Kedah dan Kuala Lumpur pada malam ini, satu lagi aksi membabitkan Selangor FC yang akan berdepan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Tiga perlawanan pula akan berlangsung esok menyaksikan Penang FC akan menentang Sri Pahang FC, UiTM FC bertemu PJ City FC manakala pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menerima kunjungan Terengganu FC.

Satu lagi baki perlawanan adalah pada Ahad melibatkan Perak FC dan Melaka United FC. – MalaysiaGazette