“Syamsul ada berhubung dengan saya dan isteri untuk bertanya khabar, baru-baru ini.”
Demikian komen penerbit filem popular, Datuk Yusof Haslam ketika diminta mengulas sama ada anaknya, Syamsul Yusof masih berhubung dengannya dan isteri selepas pertemuan mereka pada 9 September lalu.
Menurut Yusof, dia bersyukur hubungan mereka anak beranak sudah pulih.
“Alhamdulillah, hubungan kami anak beranak sudah okay. Selain bertanya khabar, Syamsul juga sering singgah ke rumah untuk menikmati masakan ibunya,” katanya kepada Harian Metro.
Pada masa sama, kata Yusof, dia juga sentiasa mendoakan semoga semangat anaknya itu kuat untuk terus berkarya
“Saya harap dia tidak sesekali patah semangat. Kalau saya, ayahnya sudah berusia 70 tahun pun masih lagi berjuang, inikan pula dia yang baharu mencecah usia 40 tahun,” katanya.
Terdahulu, Yusof mendedahkan tidak menyangka Syamsul akhirnya pulang ke rumah keluarga selepas bertahun-tahun tidak berjumpa pada 9 September lalu.
Kata Yusof, Syamsul sendiri menghubungi ibunya, Datin Patimah Ismail untuk berjumpa di rumah selepas sekian lama mereka terputus hubungan.
Sumber: Harian Metro



