Syamsul akhirnya cerai Puteri Sarah dengan talak satu

Syamsul akhirnya cerai Puteri Sarah dengan talak satu

KUALA LUMPUR – Pengarah filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof akhirnya mencerai isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana dengan talak satu ketika prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Lafaz itu menyaksikan kemelut rumah tangga mereka menemui titik noktah apabila pasangan itu sah bercerai buat kali kedua ketika prosiding status pengesahan cerai di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas.

Puteri Sarah yang hadir ke mahkamah dengan memakai kurung moden bewarna kelabu tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi yang ketara sebaik sahaja lafaz cerai dibuat.

Semasa prosiding, mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah Liyana atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu terhadap suaminya yang berusia 39 tahun, pada 16 Januari lalu.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co. – MalaysiaGazette

Scroll to Top